X

Kindly register in order to view this article
!

Labuan catat kadar vaksinasi Covid-19 tertinggi

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

LABUAN - Kira-kira 76.45 peratus atau 1,789 daripada 2,340 anggota barisan hadapan di Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat ini dengan bakinya dijangka menerima vaksin tersebut secara berperingkat hingga April.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Labuan Rithuan Ismail berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Labuan yang dilancarkan pada 27 Februari lalu menerima sambutan memberangsangkan daripada petugas barisan hadapan dan juga ketua-ketua jabatan kerajaan.

“Kami tidak menyangka dapat melaksanakan program vaksinasi ini dengan cepat serta menjadi wilayah yang merekodkan penerima vaksin paling ramai berdasarkan nisbah setiap 100,000 orang di negara ini,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Katanya, program itu dilaksanakan di tiga pusat pemberian vaksin iaitu Klinik Kesihatan Membedai, Hospital Labuan dan Rumah Sakit Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Labuan.

Beliau juga berkata, vaksinasi ke atas 450 petugas barisan hadapan di Hospital Labuan selesai pada Khamis.

Labuan menerima 4,680 dos vaksin Pfizer-BioNTech pada 26 Februari lalu untuk digunakan dalam fasa pertama program imunisasi tersebut di wilayah berkenaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!