Nelayan hilang selepas jatuh ke laut

Operasi SAR diaktifkan selepas seorang nelayan terjatuh ke dalam laut kira-kira empat batu nautika timur Pulau Rawa pada Rabu.
Operasi SAR diaktifkan selepas seorang nelayan terjatuh ke dalam laut kira-kira empat batu nautika timur Pulau Rawa pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang nelayan dilaporkan hilang dipercayai terjauh ke dalam laut pada kedudukan kira-kira empat batu nautika timur Pulau Rawa pada Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 7 pagi.

Nurul Hizam berkata, berdasarkan laporan, mangsa Samsul Bahri, 54, dari Kampung Tun, Mersing disedari jatuh ke laut oleh rakannya yang sedang mengikat tali pada bahagian belakang bot sekitar jam 6.20 pagi.

"Rakan mangsa cuba memberi bantuan dengan membaling tali ke arah mangsa, namun gagal kerana mangsa terus tenggelam.

"Kali terakhir mangsa dilihat memakai seluar merah, berkasut getah hitam dan tidak memakai jaket keselamatan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Nurul Hizam berkata, MRSC Johor telah mengkoordinasikan SAR dengan mengatur gerak bot kilat 14 ke sektor pencarian mangsa yang turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta komuniti nelayan setempat.

Katanya, sebarang aduan dan kes kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian 24 jam MERS atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

Artikel Berkaitan: