Hari paling berdarah Myanmar, 38 terbunuh dalam tunjuk perasaan

Gambar fail menunjukkan polis menyuraikan peserta tunjuk perasaan di ibu kota Myanmar, Naypyidaw. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan polis menyuraikan peserta tunjuk perasaan di ibu kota Myanmar, Naypyidaw. - Foto AFP
A
A
A

YANGON - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa pada hari Rabu sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dalam beberapa tunjuk perasaan antirampasan kuasa di seluruh Myanmar.

Pada 1 Februari lalu, junta tentera menahan pemimpin awam yang juga bekas Penasihat Kerajaan, Aung San Suu Kyi dan melakukan rampasan kuasa sekali gus mencetuskan tunjuk perasaan rakyat pada setiap hari di negara tersebut.

Negara-negara Barat kemudian menekan junta tentera Myanmar dengan melaksanakan sekatan ke atas jeneral-jeneral tentera dan mendesak Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat pada hari Jumaat.

Ekoran jumlah kematian terbaharu itu, Amerika Syarikat (AS) kemudian sedang menimbang untuk melakukan tindakan lanjut ke atas negara tersebut.

Namun, pihak tentera tidak mempedulikan kutukan antarabangsa sebaliknya meneruskan tindakan penyuaraian secara ganas ke atas para penunjuk perasaan.

"Pada hari ini sahaja (Rabu), 38 orang terbunuh," kata Utusan PBB ke Myanmar, Myanmar Christine Schraner Burgener kepada para pemberita pada Rabu.

Beliau menambah, secara keseluruhannya lebih 50 orang telah terbunuh sejak pihak tentera melakukan rampasan kuasa dan ramai lagi cedera.

"Hari ini (Rabu) merupakan hari paling berdarah sejak rampasan kuasa terjadi," tambahnya seperti dilaporkan oleh AFP tanpa memberikan maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendesak PBB mengambil tindakan yang keras ke atas para jeneral.

Burgener memberitahu, para jeneral didapati tidak mempedulikan ancaman sekatan yang dikenakan ke atas mereka melalui perbincangan yang diadakan sebelum ini.

Sebelum ini, AFP melaporkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh di seluruh Myanmar pada Rabu lalu dengan sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban di bandar Monywa di wilayah Sagaing, menurut seorang doktor. - Agensi