Sultan Johor benarkan pertambahan jemaah solat Jumaat, fardu

Yahya Ahmad
Yahya Ahmad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan pertambahan jemaah untuk solat Jumaat dan fardu berkuat kuasa pada Jumaat.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, jumlah jemaah diputuskan berdasarkan keadaan dan perkembangan Covid-19 di setiap daerah.

"Bagi Johor Bahru dan Kulai yang kerap zon merah, perubahan kepada 100 jemaah dibenarkan tidak termasuk ahli jawatankuasa (AJK) dan pegawai masjid atau surau untuk solat Jumaat dan fardu.

"Bagi lapan daerah lain seperti Muar, Batu Pahat, Segamat, Kluang, Pontian, Kota Tinggi, Mersing dan Tangkak, perubahan kepada satu pertiga kapasiti sebenar masjid atau surau untuk solat Jumaat dan fardu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 8 Februari lalu, Exco Hal Ehwal Agama Islan Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi dan Yahya mengumumkan keputusan membenarkan solat Jumaat dan fardu tetapi dihadkan kepada 40 jemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yahya berkata, kuliah agama di masjid dan surau dibenarkan serta perlu dilaksanakan oleh penceramah dan guru takmir dalam daerah sahaja.

Beliau berkata, AJK masjid dan surau harus sentiasa bertanggungjawab memastikan dan menguatkuasakan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Artikel Berkaitan: