Henti politikkan isu pelantikan ketua kampung di Johor

Md Jais Sarday
Md Jais Sarday
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelantikan ketua-ketua kampung di negeri Johor dilakukan secara telus dan terbuka melalui proses permohonan serta temuduga.

Bendahari UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, Perikatan Nasional (PN) Johor sepatutnya tidak mempolitikkan isu pelantikan ketua kampung ini.

"Bekas Menteri Besar Johor yang juga Setiausaha PN, Datuk Dr Shahrudin Jamal mendakwa pelantikan tersebut seolah-olah dikuasai oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) dan tidak dibincangkan bersama parti-parti dalam kerajaan campuran BN dan PN Johor.

"Saya mendapati pelantikan ketua-ketua kampung dilakukan secara telus dan terbuka iaitu proses permohonan melalui borang diikuti proses temuduga dan pemarkahan dilakukan oleh Pejabat Daerah," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Md Jais berkata, Pejabat Daerah kemudiannya akan mencadangkan nama-nama calon yang layak kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk dibawa dan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

"Setelah itu, nama-nama yang telah dipersetujui oleh MMK akan ditawarkan jawatan ketua kampung dan proses terakhir ialah majlis mengangkat sumpah jawatan.

"Saya percaya antara kriteria yang melayakkan seseorang itu untuk ditawarkan sebagai ketua kampung ialah penglibatan mereka dalam aktiviti sosial setempat (aktiviti masjid, surau, sekolah, badan amal, badan bukan kerajaan (NGO)), tinggal di dalam kawasan kampung tersebut dan yang lebih penting dihormati oleh masyarakat setempat," katanya.

Justeru, beliau meminta agar isu berkenaan pelantikan ketua kampung tidak dipolitikkan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat terutama orang kampung di Johor.

Artikel Berkaitan:

"Bangsa Johor tidak mempolitikkan sesuatu perkara demi kepentingan pihak tertentu semata-mata," katanya.