Calon SPM 'berpesta' atas jalan disaman

Sebahagian calon peperiksaan SPM 2020 yang disaman atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas pada Rabu.
Sebahagian calon peperiksaan SPM 2020 yang disaman atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seramai 63 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Rabu disaman kerana bertindak luar kawalan dengan berpesta di atas jalan raya bagi meraikan hari terakhir peperiksaan mereka.

Dalam kejadian jam 3 petang, kesemua mereka yang berusia 18 tahun disaman dalam Op Khas (Pengubahsuaian ekzos dan pemantauan calon SPM) selepas didapati 'berpesta' di Jalan Pantai Puteri dan Dataran Klebang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebanyak 92 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Pol 257.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 21 kes didapati tidak mempamerkan lesen P dan L, 17 kes membabitkan aksesori tidak sempurna dan ubahsuai ekzos enam kes.

"Polis turut menyita 14 buah motosikal pelbagai jenis.

"Kejadian ini pernah berlaku pada 2019 dan kami memang bersedia melakukan pemantauan di lokasi sasaran sebelum mengesan kumpulan pelajar terbabit," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut Hassan Basri berkata, lima saman telah dikeluarkan masing-masing bagi kesalahan ubah suai struktur atau peralatan, tidak memakai topi keledar dan tiada nombor pendaftaran.

"Tiga lagi saman dikeluarkan bagi setiap kesalahan tiada lesen, nombor plat tidak mengikut pendaftaran, tiada perlindungan insurans, brek tidak berfungsi, nombor fancy, tiada cermin sisi dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam operasi itu, tiga saman turut dikeluarkan kepada penunggang motosikal berusia 16 tahun ke bawah dan enam saman kepada penunggang 17 tahun ke bawah selain satu atas kesalahan membenarkan penunggang tanpa lesen.