Pengayuh beca lega dapat rentas daerah

Mahadi (kanan) bersama-sama 16 pengayuh beca yang diraikan Yadim.
Mahadi (kanan) bersama-sama 16 pengayuh beca yang diraikan Yadim.
A
A
A

KOTA BHARU - Kebenaran merentas daerah bermula Jumaat ini melegakan pengayuh beca di negeri ini yang terjejas berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun masih ramai yang bimbang menggunakan khidmat itu kerana pandemik Covid-19 namun sekurang-kurangnya memberikan semangat untuk pengayuh beca bekerja semula.

Pengerusi Persatuan Pengayuh Beca Kota Bharu, Che Udi Che Pa berkata, beliau sudah lebih 40 tahun mengerah keringat menjadi pengayuh beca dan bermula Mac tahun lalu pendapatannya terkesan disebabkan Covid-19.

Menurutnya, beliau lega apabila kerajaan membenarkan rentas daerah bermula Jumaat ini yang berkemungkinan ada yang menggunakan perkhidmatannya.

"Sekarang sukar untuk mendapat RM5 tetapi kami lega kerana boleh merentas daerah. Mungkin ramai yang masuk ke bandar Kota Bharu dan naik beca.

"Daripada keluar seharian tak dapat apa-apa (pelanggan), saya rasa selepas ini ada juga rezeki kami walaupun hanya seorang dua," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Che Udi antara 16 pengayuh beca yang masih aktif di sini dan menerima sumbangan makanan menerusi Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Peduli Musa'adah 2.0 disampaikan Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah di seluruh negeri bermula Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pengayuh, Che Kamarudin Che Ahmad, 62, berkata, disebabkan ketiadaan pelanggan sepanjang Covid-19 dia mengambil upah menghantar bahan mentah ke restoran.

"Tak kisahlah asalkan rajin, nak bergantung pada pelanggan memang tidak dapat duit. Kalau dari bandar Kota Bharu ke Berek 12 bolehlah dapat upah sekitar RM5 untuk hantar barang.

"Ini pun dah kira bersyukur ada juga rezeki, saya perlu menyara seorang isteri dan sepasang anak kembar berusia 11 tahun di rumah. Apabila kerajaan umum boleh rentas daerah," katanya.

Che Kamarudin berkata, dia bersyukur dengan bantuan daripada Yadim itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kos perbelanjaan membeli barang dapur.