X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Durian musang king dirampas di KLIA

Durian musang king yang cuba dibawa keluar ke Indonesia melalui KLIA, Sepang pada Selasa diletakkan dalam kotak.
A
A

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menggagalkan cubaan membawa keluar durian jenis musang king melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Selasa.

Pemangku Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pada jam 12.30 tengah hari itu mendapati empat kotak yang dibawa seorang lelaki tempatan itu mengandungi 16 biji buah durian seberat 56 kilogram.

"Siasatan mendapati durian bernilai RM6,000 itu dipercayai untuk dihantar kepada majikannya di Indonesia.

"Kesemua durian tersebut dirampas kerana gagal mengemukakan permit eksport dan sijil fitosanitasi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, perbuatan mengeksport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali.

"Maqis akan sentiasa tegas, cekap dan teliti menjalankan aktiviti penguatkuasaan di semua pintu masuk seluruh Malaysia.

"Langkah ini bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara selain memastikan makanan yang keluar ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!