PM kukuhkan Malaysia maju kehadapan: QIAM

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya meletakkan asas yang kukuh untuk negara maju ke hadapan dengan jangkaan pertumbuhan kasar lebih dari 5 peratus tahun ini.

Presiden Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, setahun pemerintahan negara di bawah pimpinan Muhyiddin, Malaysia menghadapi pelbagai cabaran terutama pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi dan ancaman keselamatan.

“Malaysia diberi sanjungan tinggi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai sebuah negara yang berjaya menangani masalah Covid-19 sehingga kini.

“Melalui program vaksin yang baru dilancarkan, rakyat akan bertambah yakin wabak Covid-19 dapat dihapuskan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sirajuddin berkata, kerajaan telah mengambil langkah drastik bagi menangani kemerosotan ekonomi dengan memperkenalkan program rangsangan bagi membantu rakyat mengharungi pandemik Covid-19.

“Bagi tahun 2021, kerajaan telah meluluskan peruntukan tahunan terbesar yang pernah diumumkan iaitu berjumlah RM322.5 bilion.

“Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ini dapat meredakan keresahan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan merupakan negara yang terawal melaksanakan moratorium bagi pinjaman bank,” ujarnya.

Kerajaan juga telah memperkenalkan pelan komprehensif untuk memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih mampan melalui Transformasi Digital yang akan mewujudkan 5,000 pekerjaan dalam masa 5 tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, Muhyiddin turut mengumumkan langkah-langkah konkrit untuk meningkatkan tahap kualiti kehidupan di negara selaras dengan tuntutan keperluan rakyat dan perundangan negara.

“Antaranya, membanteras rasuah dengan menumpukan kepada agensi penguatkuasaan serta perlaksanaan Pelan Anti-Rasuah Negara.

“Kerajaan juga mempertahan serta menghormati kebebasan sistem pengadilan dan kehakiman untuk menentukan integriti sistem governance negara terus kukuh.

“Blueprint Perpaduan Negara (2021-2025) turut dibentangkan bagi menentukan semua rakyat hidup bersatu padu dan harmoni,” katanya.

Sehubungan itu, QIAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia serta Kerajaan Perikatan Nasional kerana berjaya menggembeling sumber utama negara untuk melonjak keluar dari belenggu pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi negara.

Pada Isnin, genap setahun pemerintahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan negara.