‘Ubati rasuah sebelum jadi barah’

Hussamuddin (dua dari kiri) bersama wakil NGO ketika sesi Perbincangan Kolaboratif #RasuahBusters bersama Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN) di Kumpulan Karangkraf pada Rabu. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hussamuddin (dua dari kiri) bersama wakil NGO ketika sesi Perbincangan Kolaboratif #RasuahBusters bersama Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN) di Kumpulan Karangkraf pada Rabu. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Gejala rasuah di negara ini berada pada tahap membimbangkan dan perlu diubati sebelum bertukar menjadi barah yang berbahaya.

Pengarah Eksekutif Pendidikan Ikram Musleh Berhad, Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor berkata, masyarakat terutamanya umat Islam perlu menolak dan membenci amalan rasuah sebagaimana mereka menyatakan benci serta jijik kepada haiwan haram.

“Rasuah membabitkan soal integriti dan integriti pula melibatkan sikap serta tingkah laku individu.

“Jadi bukan satu tugas yang mudah untuk kita mengubah sikap dan tingkah laku individu melainkan mereka sendiri bersedia untuk bermuhasabah, menginsafi kesilapan serta mahu berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menghadiri sesi Perbincangan Kolaboratif #RasuahBusters bersama Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN) di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Presiden IPPN, Datuk Tan Yew Sing serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Megat Mohamed Amin (depan, dua dari kiri) bersama Hussamuddin (depan, tiga dari kiri) dan Yew Sing (depan, tiga dari kanan) serta wakil NGO lain selepas sesi Perbincangan Kolaboratif #RasuahBusters bersama Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN) di Kumpulan Karangkraf pada Rabu. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Megat Mohamed Amin (depan, dua dari kiri) bersama Hussamuddin (depan, tiga dari kiri) dan Yew Sing (depan, tiga dari kanan) serta wakil NGO lain selepas sesi Perbincangan Kolaboratif #RasuahBusters bersama Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN) di Kumpulan Karangkraf pada Rabu. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menurut Megat Mohamed Amin, beliau percaya sekiranya orang ramai boleh berbuat demikian, maka tahap serta nilai integriti mereka akan dipertingkatkan dalam kehidupan seharian.

Artikel Berkaitan:

“Bila makanan tak halal kita tolak tetapi kalau melibatkan rasuah, masih ada yang memberi dan menerimanya,” katanya.

Tambah Megat Mohamed Amin lagi, pendedahan mengenai jenayah rasuah perlu dipupuk sejak awal bermula di bangku sekolah.

“Selain aspek penguatkuasaan undang-undang, pendedahan awal mengenai kesalahan serta kesan negatif rasuah perlu disemai dalam kalangan murid.

“Nilai integriti, jujur dan amanah perlu ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Ajar mereka untuk benci dan jijik kepada rasuah agar ia menjadi tabiat serta budaya dalam diri mereka.

“Ajarkan mereka apa yang disuruh serta dilarang dalam al-Quran dan as-Sunnah. Apabila suasana itu sudah diterapkan sejak kecil, akan lahir generasi muda yang bersikap telus dan jujur ketika menjalankan tugas mereka apabila dewasa kelak,” katanya.

Mengulas mengenai kempen Rasuah Busters, Megat Mohamed Amin berkata, beliau menyokong penuh usaha berkenaan dan berharap semua pihak turut mengambil peranan dalam kempen itu.

“Sekiranya semua pihak berganding bahu dan turut serta, saya yakin kempen ini akan berjaya.

“Ini tanggungjawab kita untuk menghentikannya. Sekiranya kita tidak melakukan apa-apa, sistem nilai kita akan lebih merosot.

“Mungkin ia mengambil sedikit masa namun saya percaya, ia akan memberi impak kepada semua pihak. Saya percaya gejala rasuah di negara kita lama-kelamaan akan berkurangan,” katanya.