PPM rampas ikan dibom di Kunak

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 10kg ikan pelbagai jenis yang ditangkap menggunakan bahan letupan berhampiran Kampung Basilan di Kunak, semalam.

Dalam kejadian pukul 4.40 petang itu, seorang lelaki bertindak terjun ke laut meninggalkan bot pamnya serta ikan yang ditangkap hasil aktiviti mengebom, selepas dihampiri anggota PPM.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata Unit Risikan Polis Marin yang menjalankan operasi, mengesan seorang juragan sedang mengebom ikan.

"Menyedari kehadiran PPM, lelaki tersebut meloloskan diri dengan terjun dan masuk ke kawasan kampung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata pihaknya turut menemukan enam paket kecil berisi dadah jenis Syabu seberat 0.32g, lima keping kertas timah, serta wang tunai RM12 dipercayai milik suspek yang melarikan diri.

Menurutnya, semua barangan bernilai RM2,812 termasuk bot dirampas dan dibawa ke Pos PPM Kunak untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.- Bernama

Artikel Berkaitan: