X

Kindly register in order to view this article
!

Pokok ‘Gombak’ jaga alam sekitar

A
A
POKOK 'Gombak’ atau nama asalnya pokok Gapis (Saraca thaipengensis/yellow saraca) adalah pokok yang banyak tumbuh di sepanjang tepian sungai. Ia dipanggil pokok 'Gombak’ oleh orang asli di sekitar Gombak.

Pokok Gapis merupakan pokok asal (native) kepada negara kita. Ia boleh tumbuh sehingga 20 meter (66 kaki) tingginya. Daunnya mengurai, besar dan berwarna hijau tua. Menurut orang asli, daun mudanya boleh dijadikan ulam.

Bunga Gapis yang tumbuh secara langsung daripada batang pokok, dahan atau ranting dalam bentuk rumpun atau jambakan yang besar dengan warnanya kuning aprikot dan mata merah terang menjadikannya lagi menyerlah tatkala bunganya berkembangan pada musim panas di awal tahun. Bunganya amat wangi terutama waktu malam.

Pokok Gapis, pokok yang menyumbang kepada pengekalan keseimbangan alam sekitar, ekosistem, ekologi dan biodiversiti sungai. Ia dikategorikan sebagai spesies riparian (kelompok dan jenis tumbuhan yang tumbuh di sekitar/sepanjang tebingan sungai) yang membentuk ekosistem sungai. Ekosistem sungai meliputi pelbagai jenis ekosistem termasuk tebing sungai, dataran banjir dan tanah basah. Ekosistem riparian mewakili habitat yang lebih basah, lebih sejuk dan lebih rapat daripada kawasan dataran tinggi yang bersebelahan dan akibatnya cenderung menyokong komuniti yang mempunyai biologi, produktif dan pelbagai.

Ekosistem sungai juga menyediakan banyak fungsi dan perkhidmatan ekosistem penting, khususnya dalam mengatur iklim mikro dan kualiti air, mencegah hakisan tebing sungai dan meningkatkan kestabilan bentuk muka bumi, mewujudkan jaringan makanan akuatik dan daratan serta menyediakan habitat untuk pelbagai organisma akuatik, amfibia dan daratan.

Walaupun terdapat nilai-nilai tersebut, ekosistem riparian juga merupakan beberapa ekosistem yang paling terancam disebabkan oleh kedudukannya yang dekat dengan aktiviti manusia yang tidak terkawal.

Pengurusan dan pemulihan ekosistem riparian yang berkesan semakin mendesak untuk pemeliharaan biodiversiti setempat dan untuk kesejahteraan serta penghidupan masyarakat di sekitarnya. Pendekatan pengurusan melibatkan perlindungan ekosistem riparian yang sistematik perlu dilakukan.

Peranan

Spesies riparian seperti Gapis memainkan peranan sangat penting sebagai zon peralihan antara air dan persekitaran daratan. Selain menjadi perumah kepada habitat sekeliling, spesies riparian juga menyumbang sebagai penghubung kepada hidupan liar di sekitarnya, agen penapis dan halangan untuk pergerakan antara spesies flora dan fauna serta sebagai 'sink’ dan sumber hidupan liar, nutrien serta tenaga.

Buahnya yang besar, leper, keras dan berwarna ungu menjadi makanan kepada tupai. Ia merupakan kitaran kehidupan flora dan fauna yang semula jadi dalam mengekal serta menghasilkan biodiversiti yang lengkap. Dari segi ekologi, dengan ketinggian sehingga 20 meter dan tumbuh dalam kelompok yang dekat antara satu sama lain, dapat menjadikan akarnya memegang struktur tanah dengan kuat. Fungsi akar-akar itu amat jelas sebagai agen yang bertindak untuk menyerap air yang banyak terutama air hujan.

Ia dapat menjadikannya sebagai spesies yang sangat sesuai berada di zon peralihan antara air dan persekita-ran daratan. Fungsi akar-akar dapat menahan dan menampung kekuatan semula jadi kawasan tebingan sungai daripada terhakis akibat arus yang deras dan jika berlakunya tanah runtuh. Terdapat juga maklumat yang menyatakan akar pokok Gapis digunakan untuk membuat pemegang parang.

Oleh itu, sebagai salah satu spesies yang dikategorikan sebagai riparian, pokok Gapis yang merupakan pokok asal perlu dibiarkan tumbuh di sepanjang sungai bersama tumbuhan lain untuk mewujudkan riparian habitat yang berterusan dan lestari.

* Dr Mohd Ramzi Mohd Hussain ialah Profesor Madya di Jabatan Senibina Landskap, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!