Demokrasi berparlimen diraikan, bukan direncatkan: Shamsul Iskandar

Shamsul Iskandar
Shamsul Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - Demokrasi berparlimen seharusnya diraikan dan bukan direncatkan dengan alasan tempang, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menurut beliau, alasan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengambil kira faktor kesihatan dan terdapat ramai ahli Parlimen berusia emas adalah alasan dangkal yang mencacatkan demokrasi.

“Ini kerana, wakil rakyat merupakan kumpulan pertama penerima Vaksin Covid-19 dan alasan kebimbangan berkaitan penularan wabak Covid-19 adalah tidak relevan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Rabu, kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Takiyuddin berkata, Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

Dalam pada itu, PKR memandang serius kenyataan Takiyuddin Hassan yang menyebut bahawa kerajaan memutuskan tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Kenyataan tersebut jelas bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai.

Kerajaan juga seharusnya membenarkan demokrasi berfungsi selaras dengan titah baginda Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, PKR menggesa kerajaan segera memanggil sidang Parlimen bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen mengambil bahagian dalam usaha memerangi wabak Covid-19.