PKPP: Sabah benarkan rentas daerah mengikut enam zon

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah pada Rabu membenarkan rentas daerah dalam negeri ini mengikut enam zon yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap rasmi kerajaan negeri berkenaan Covid-19 itu berkata, Zon 1 melibatkan daerah Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar; Zon 2 merangkumi Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang manakala Zon 3 meliputi Kudat, Kota Marudu dan Pitas.

Beliau berkata, Zon 4 pula melibatkan Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod); Zon 5 merangkumi Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan manakala Zon 6 meliputi Keningau, Tambunan dan Tenom.

"Rentas sempadan (daerah) dibenarkan mengikut zon yang ditetapkan kecuali jika daerah itu di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)... penduduk hanya boleh merentas sempadan dalam zon ditetapkan itu sahaja, tidak boleh merentas daerah ke zon yang lain.

"Keputusan ini (kawalan rentas daerah) dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor; antaranya data sains perubatan yang kita peroleh setiap hari dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan," katanya pada sidang media Covid-19 kerajaan negeri di sini pada malam Rabu.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Sabah antara negeri yang dikenakan PKPP bermula Jumaat ini hingga 18 Mac depan.

Masidi berkata, tindakan kerajaan negeri untuk masih tidak membenarkan rentas daerah secara penuh di Sabah tidak boleh disamakan dengan kebenaran rentas daerah penuh yang telah diberikan untuk negeri-negeri di Semenanjung berdasarkan pelbagai sebab terutama keluasan daerah.

"Negeri Melaka sahaja sama besar dengan daerah Ranau, Pahang pula sama besar dengan Kinabatangan maka perbandingan daerah di Sabah dan Semenanjung itu tidak sesuai bila kita lihat untuk mengawal rentas sempadan bagi mencegah Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, walaupun kes harian Sabah semakin rendah dengan hanya 95 kes baharu Covid-19 pada Rabu, semua pihak termasuk penduduk tidak boleh leka dalam usaha mengekang pandemik itu.

"Kebolehjangkitan di Sabah masih pada tahap yang tinggi, kita juga perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan dan sebarang sikap berpuas hati boleh menyebabkan satu lagi lonjakan (Covid-19) di Sabah," katanya. - Bernama