Gempa kuat 6.3 magnitud gegar Greece

Orang ramai berkumpul di dataran utama di bandar Larissa pada Rabu selepas gempa kuat itu mencetuskan panik. - Foto: AFP
Orang ramai berkumpul di dataran utama di bandar Larissa pada Rabu selepas gempa kuat itu mencetuskan panik. - Foto: AFP
A
A
A

DAMASI - Gempa kuat berkekuatan 6.3 magnitud menggegar tengah Greece pada Rabu dan turut mengakibatkan kesan retakan serta memusnahkan beberapa bangunan.

Beberapa gempa susulan turut dilaporkan berhampiran bandar Larissa selepas gegaran pertama berlaku pada jam 12.16 pagi (waktu tempatan) hingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

"Kejadian itu berlaku amat pantas. Penduduk lari keluar dari bangunan menyelamatkan diri masing-masing," kata jurucakap pejabat Datuk Bandar Elassona berhampiran Larissa.

Pihak berkuasa perlindungan awam mengesahkan tiada laporan kecederaan atau kematian.

Bagaimanapun, kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan itu dan pihak berkuasa juga masih menilai kesan kemusnahan gempa tersebut.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gegaran itu juga boleh dirasai di tengah dan utara Greece.

Terdahulu, Institut Geodinamik di Athens merekodkan gempa itu 6.0 sebelum dinaikkan kepada 6.3 pada skala Richter.

Susulan insiden itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu bertindak menghubungi rakan sejawatannya di Greece, Nikos Dendias untuk menzahirkan solidariti dan menyatakan kesediaan Ankara untuk memberikan sebarang bantuan diperlukan Athens. - AFP

Artikel Berkaitan: