X

Kindly register in order to view this article
!

Individu 'potong barisan' boleh didenda RM50,000, penjara enam bulan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
A
A

PUTRAJAYA - Individu yang 'memotong barisan' untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tindakan itu boleh diambil mengikut Seksyen 31 yang merupakan peruntukan baharu di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 yang akan berkuat kuasa 11 Mac ini.

Katanya, Seksyen 32 itu menjadi punca kuasa untuk mengenakan penalti di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan di dalamnya.

“Peraturan yang dibuat di bawah subseksyen baharu ini boleh menetapkan apa-apa perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan itu menjadi suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti denda tidak melebihi RM50,000, atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini pada Rabu.

Dr Adham berkata, buat masa ini, tiada laporan diterima oleh KKM berhubung isu potong barisan dalam penerimaan suntikan vaksin Covid-19.

“Setakat ini tiada laporan mengenai isu ini, ia hanya berita di media sosial sahaja,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kerajaan mewujudkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan bagi mengelakkan isu “potong barisan” untuk program vaksinasi Covid-19.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata keputusan itu dibuat pada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan dokumen garis panduan berkenaan memperincikan mengenai petugas barisan hadapan.

Katanya, beliau dan Dr Adham telah menandatangani dokumen garis panduan itu yang akan dimuat naik di laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menjelaskan takrifan barisan hadapan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!