FOMCA gesa kerajaan bantu kurangkan bil isi rumah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan agar membantu mengurangkan bil isi rumah, sekali gus memberikan lebihan wang tunai untuk makanan dan keperluan lain susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Presiden FOMCA, Datuk Dr N Marimuthu berkata, norma baharu telah memaksa ramai orang bekerja dari rumah (WFH) yang amat bergantung kepada sambungan Internet serta gajet, dan membayar bil utiliti serta telekomunikasi adalah penting bagi memastikan kelancaran serta pelaksanaan WFH.

“Saat ini tidak banyak insentif atau pengurangan tarif oleh mana-mana sektor kecuali sektor tenaga yang memberikan diskaun semasa perintah sekatan susulan penularan pandemik itu. Isi rumah sering mengeluh bahawa harga makanan dan barang keperluan telah meningkat,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memberikan perhatian kepada tindakan syarikat insurans terutama dalam isu kenaikan premium insurans perubatan.

Katanya, situasi itu akan menjejaskan kemampuan pemegang polisi apabila notis berhubung perkara tersebut dihantar kepada pengguna semasa mereka bergelut mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan, yang disifatkan beliau sebagai amat tidak adil.

Marimuthu juga berkata, kadar faedah bagi pinjaman kerajaan perlu dikurangkan manakala kadar faedah bagi gadai janji dan sewa beli disemak semula. - Bernama

Artikel Berkaitan: