Misteri darah dari siling terjawab

Mayat lelaki ditemui duduk di sofa di bahagian ruang tamu di tingkat empat sebuah perumahan di Taman Mutiara Sungai Bedaun, Labuan pada Selasa.
Mayat lelaki ditemui duduk di sofa di bahagian ruang tamu di tingkat empat sebuah perumahan di Taman Mutiara Sungai Bedaun, Labuan pada Selasa.
A
A
A

LABUAN - Titisan cecair seperti darah dari siling rumah yang dikesan di sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat lelaki dalam kejadian di Taman Mutiara Sungai Bedaun pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang, mayat seorang lelaki berusia 44 tahun ditemui di atas sofa di bahagian ruang tamu dipercayai telah meninggal dunia sejak empat hari lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, laporan diterima daripada seorang pengadu lelaki berusia 36 tahun yang menetap di tingkat tiga kawasan perumahan terbabit.

"Pengadu memaklumkan terdapat cecair seperti darah menitis dari siling rumahnya dan bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dengan bantuan pihak bomba telah ke lokasi kejadian dan memotong pagar keselamatan serta memecahkan pintu yang berkunci di tingkat empat.

"Hasil pemeriksaan, lelaki itu dilihat dalam keadaan duduk selain mengeluarkan cecair yang busuk dan disahkan telah meninggal dunia dianggarkan tiga hingga empat hari sebelum ditemukan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Ibrahim berkata, siasatan awal terhadap mayat terbabit mendapati tiada sebarang kecederaan atau luka ditemui yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.

"Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut, bagaimanapun mayat lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian," katanya.

Artikel Berkaitan: