'Mesej KP dan Menteri Kesihatan sentiasa mendebarkan saya'

Ismail Sabri bercakap ketika Wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin di Kementerian Pertahanan baru-baru ini. Foto Bernama
Ismail Sabri bercakap ketika Wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin di Kementerian Pertahanan baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiap kali menerima mesej daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai statistik kes harian Covid-19, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berasa berdebar, terutamanya ketika melihat peningkatan kes baharu dan jumlah kematian.

Menganggap tugas melandaikan Covid-19 sebagai tanggungjawab besar, Menteri Kanan (Keselamatan) itu sering tampil di kaca televisyen bagi menyalurkan maklumat terkini berhubung prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac 2020.

“Pengalaman yang menakutkan saya apabila saya terima dan baca mesej DG Kesihatan (Dr Noor Hisham) mengenai jumlah kes pada hari itu. Itu menakutkan saya. Bayangkan 3,000 kes, 4,000 kes, 5,000 kes. Sudah pasti sayalah yang paling takut kerana ia melibatkan tugas saya juga untuk melandaikan Covid-19.

“Begitu juga kes kematian. Ia suatu perkara yang tak dapat diterima oleh sesiapa pun walaupun semua orang akan mati tapi yang meninggal (kerana) Covid-19 lebih teruk (sebab) tak boleh pergi melawat, tak boleh cium jenazah dan sebagainya. Itu peristiwa yang tak boleh dilupakan,” katanya kepada pemberita bersempena setahun pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional baru-baru ini.

Berkongsi mengenai perubahan SOP semasa PKP 1.0 dan PKP 2.0, Ismail Sabri berkata, kerajaan perlu mengambil jalan terbaik dalam mencari titik keseimbangan di antara mengawal penularan Covid-19 dan memastikan kelangsungan hidup rakyat.

Tambahan pula, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, Malaysia ketika PKP pertama, tidak mempunyai data serta pengalaman, selain tiada negara di dunia yang boleh dijadikan rujukan dalam menangani Covid-19.

“Sekarang kita fleksibel, kerana kalau terlalu ketat, ekonomi kita makin parah dan rakyat kita dah tak boleh survive.

“Ekonomi rakyat menjadi keutamaan kerajaan kerana kita nak pastikan food on the table. Kita tak mahu rakyat mati kerana Covid-19, tetapi kita juga tak nak rakyat kita mati kerana kebuluran. Sekarang, setelah setahun, kita ada data lengkap, kita ada data saintifik dan lengkap serta pengalaman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi individu yang melanggar SOP berkuat kuasa 11 Mac, Ismail Sabri berkata, denda maksimum tersebut dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan berulang kali.

Selain itu, bagi mereka yang terlibat dengan kesalahan melampau yang boleh menyebabkan penularan jangkitan seperti mengunjungi pusat hiburan juga boleh dikenakan denda hingga RM10,000.

Bagaimanapun, beliau berkata, pesalah boleh mengemukakan rayuan ketika membuat pembayaran di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) memandangkan pihak polis hanya mengeluarkan saman.

“Kalau setakat tak pakai pelitup muka, tak akan dikenakan RM10,000. Yang menerima bayaran itu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Polis hanya mengeluarkan saman jadi masih lagi boleh merayu untuk mendapatkan pengurangan (denda). Denda boleh jadi RM1,000 atau RM100, malah RM50. Ini bergantung pada pegawai KKM di PKD,” katanya.

Selepas setahun menerajui portfolio itu, Ahli Parlimen Bera tersebut berkata, beliau sudah lali dengan kata-kata negatif yang dilontarkan netizen terhadap beliau.

“Sebagai ahli politik, ini (perkara) biasa. Kita kena terima seadanya, sebab kita tidak boleh harap semua orang akan suka kita. Ada yang suka, ada yang tak suka. Cuma sesetengah itu mungkin cara penyampaian dia tak betul, tetapi kadang-kadang apa yang dibangkitkan itu mungkin ada benarnya,” kata Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

Menurutnya, ada ketikanya komen netizen turut diambil maklum sebagai pandangan dalam membuat sebarang SOP. - Bernama