Zoo Negara dibuka semula Jumaat ini

Rosly melepaskan sebahagian ikan selepas sidang akhbar mengenai Program Jom Memancing @ Zoo Negara pada Rabu. Foto Bernama
Rosly melepaskan sebahagian ikan selepas sidang akhbar mengenai Program Jom Memancing @ Zoo Negara pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Zoo Negara akan kembali dibuka kepada pengunjung bermula Jumaat ini, dengan menawarkan 20 peratus diskaun bagi harga tiket dewasa dan kanak-kanak sebagai usaha menarik pengunjung ke situ.

Timbalan Presidennya, Rosly Ahmad Lana berkata, pembukaan Zoo Negara telah mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) ketat tetap dilaksanakan dengan hanya 2,500 pengunjung dibenarkan pada satu masa bermula 9 pagi hingga 5 petang.

“Kami bersyukur dan berterima kasih walaupun dalam tempoh PKPB (sebelum ini), kunjungan begitu menggalakkan. Kami sebenarnya bimbang kerana sekiranya Zoo Negara masih belum dibuka, pihak kami akan mengalami masalah,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Rosly pada sidang akhbar mengenai Program Jom Memancing @ Zoo Negara pada Rabu. Foto Bernama
Rosly pada sidang akhbar mengenai Program Jom Memancing @ Zoo Negara pada Rabu. Foto Bernama

Rosly berkata, sepanjang PKP pihaknya telah menerima sumbangan lebih RM11 juta daripada badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), badan sukarelawan serta individu, sejak Januari 2020 hingga Januari 2021.

Menurut beliau, sumbangan bagi membeli bekalan makanan haiwan, perubatan serta menguruskan haiwan secara berterusan itu dijangka mampu bertahan hingga April ini.

Sementara itu, Rosly turut melepaskan 500 kilogram (kg) ikan rohu dan 400 kg ikan keli Afrika di Tasik Tunku Abdul Rahman yang dibuka kepada pemancing sejak 20 Februari lepas pada 9 pagi hingga 3.30 petang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pematuhan SOP ketat turut dikenakan dengan mengehadkan 70 hingga 90 orang sehari manakala ikan yang ditangkap melebihi 10 kg akan diserah kembali kepada pihak zoo. - Bernama