16 bekas ahli UMNO gagal dapat perintah mahkamah bubar parti

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu memutuskan UMNO merupakan sebuah parti sah dan mengikut perlembagaan.

Keputusan itu dibuat selepas panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed menolak permohonan 16 bekas ahli parti itu yang mahu perisytiharan UMNO sebagai parti tidak sah kerana melanggar perlembagaannya.

16 bekas ahli tersebut ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Ketika membaca penghakimannya, Azhar berkata, rayuan itu sudah menjadi akademik kerana ia difailkan oleh pemohon yang bukan lagi ahli parti tersebut.

“Parti berkenaan juga sudah selesai menjalankan pemilihan di semua peringkat. Oleh itu, perkara ini sudah menjadi akademik,” katanya pada prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom pada Rabu.

Selain Azahar, turut bersidang dalam prosiding itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli; Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim; Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Pada Februari 2019, 16 bekas ahli UMNO selaku pemohon itu diberikan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) seperti yang diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018 dalam memberikan UMNO pelanjutan tempoh mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019 yang melepasi tempoh maksimum.

Artikel Berkaitan:

Selanjutnya, mereka turut memohon perintah mandamus untuk mendesak RoS membubarkan sementara UMNO dan menggantung semua aktiviti parti itu sehingga selesai semakan kehakiman.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan kumpulan itu selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan RoS.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said ketika itu menolak permohonan mereka selepas membenarkan bantahan awal Pejabat Peguam Negara dan memutuskan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara membabitkan pertelingkahan antara ahli dalam parti politik.

Beliau berkata, Seksyen 18C Akta Pertubuhan menyatakan keputusan parti politik atau perkara membabitkan hal ehwal perjalanan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dibatalkan atau dipertikaikan di mana-mana mahkamah.