Kompaun RM10,000 tingkat keberkesanan penguatkuasaan

Dr Adham Baba - Foto Bernama
Dr Adham Baba - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA -Tindakan kompaun tidak melebihi RM10,000 adalah antara lima pindaan yang dilakukan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dalam membendung penularan pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pindaan itu melibatkan Seksyen 25 iaitu daripada kadar kompaun asal tidak melebihi RM1,000 kepada tidak melebihi RM10,000 bagi individu dan RM50,000 untuk pertubuhan perbadanan.

“Kenaikan nilai kompaun ini bertujuan mencegah individu dan pertubuhan perbadanan daripada melakukan kesalahan serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Ditanya mengenai kaedah pelaksanaan tindakan kompaun itu, Dr Adham berkata, pihaknya telah mengeluarkan garis panduan mengenai jenis kesalahan dan selebihnya terserah pada budi bicara pegawai bertugas.

“Ada garis panduan dan tidak semua dikenakan kompaun RM10,000 kerana bergantung pada kesalahan yang dibuat,” katanya.

Pada 25 Februari lepas, dilaporkan individu yang melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 akan berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac ini.

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara. Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kompaun ingkar PKP naik RM10,000 mulai 11 Mac

Artikel Berkaitan:

Kompaun RM10,000 bukan untuk aniaya rakyat: Ismail Sabri

Ordinan Darurat: 5 pindaan baharu bendung Covid-19 kuat kuasa 11 Mac