Rugi RM2,680, isteri halau suami dari rumah

maxresdefault
maxresdefault
A
A
A
KEPALA BATAS - Seorang lelaki bukan sahaja kerugian RM2,680 kerana ditipu sindiket yang menawarkan wang tidak wujud malah dia juga turut bergaduh serta dihalau keluar dari rumah oleh isterinya berikutan kejadian tersebut, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 50 tahun dan merupakan pekerja sebuah syarikat lebuh raya itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa daripada sebuah syarikat menawarkan pinjaman peribadi.

"Dalam kejadian di rumah mangsa di Permatang Tok Labu, Penaga dekat sini itu lelaki berkenaan menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa nama Ikmal yang menawarkan pinjaman peribadi kepada mangsa.

"Mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM5,000 untuk melangsaikan hutang yang pernah dipinjamnya pada tahun 2016 untuk menanggung perbelanjaan arwah ibunya bagi mengerjakan umrah ketika itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki yang mendakwa sebagai Ikmal itu mengarahkan mangsa membuat pembayaran sebagai wang proses permohonan pinjaman itu dan dia membuat pindahan berjumlah RM2,680 ke dalam dua akaun berbeza diberi oleh suspek, namun selepas itu tidak dapat menghubung Ikmal.

Noorzainy berkata, polis kini sedang giat mengesan suspek yang menipu mangsa berdasarkan nombor telefon dan akaun bank untuk pemindahan wang yang dibuat oleh lelaki itu.

"Ekoran kejadian itu, mangsa bergaduh dengan isterinya kerana difahamkan sebahagian wang dipindahkan tersebut milik wanita berkenaan malah isterinya juga telah beberapa kali menasihatkan agar berhati-hati dengan sindiket sedemikian," katanya.

Katanya, kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan seperti itu kerana hakikatnya peminjam tidak perlu membuat sebarang pembayaran bagi proses pinjaman. - Bernama
Artikel Berkaitan: