305 individu ditahan ingkar SOP PKP: Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 305 individu ditahan pada Selasa atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, seramai 296 orang dikompaun, manakala lapan direman dan seorang dijamin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kesemua mereka ditahan ketika operasi pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP PKP yang dijalankan Task Force Operasi Pematuhan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Task Force Operasi Pematuhan telah membuat sebanyak 71,392 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

“Seramai 3,412 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,310 anggota telah membuat pemantauan di 6,206 buah restoran, selain pasar raya (4,209), bank (3,901), penjaja (2,386), pasar awam dan pasar tani (2,568), kilang (1,589) serta pejabat kerajaan (1,078).

"Turut dipantau ialah tempat ibadah (3,392), tempat riadah (1,546), terminal pengangkutan darat (1,997), terminal pengangkutan air (307) dan terminal pengangkutan udara (120).

"Seramai 305 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 296 orang dikompaun, lapan lagi direman manakala satu dijamin," katanya dalam satu kenyataan mengenai pelaksanaan PKP pada Rabu.

Ismail Sabri berkata, anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut melakukan sebanyak 42 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, kesemua 42 tapak binaan mematuhi SOP. Secara keseluruhannya, CIDB telah melakukan sebanyak 15,896 pemeriksaan melibatkan 8,996 tapak binaan sejak 20 April 2020," katanya.