Pemandu kren mabuk dijel sehari, denda RM10,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PETALING JAYA - Akibat memandu di bawah pengaruh alkohol, seorang pemandu kren dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu ke atas Kow Tuck Choy, 51, selepas dia mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol sebanyak 87 miligram (mg) dalam 100 mililiter darah, melebihi had yang ditetapkan iaitu 50 mg di Jalan Utara di sini pada jam 11.45 malam, 1 Januari lepas.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun serta denda RM10,000 hingga RM30,000.

Mahkamah memerintahkan Tuck Choy menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan dia boleh dipenjara tiga bulan lagi jika gagal membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk pemenjaraan sebagai pengajaran kepada tertuduh namun Kow yang tidak diwakili peguam merayu hukuman rendah dengan alasan kesalahan itu adalah yang pertama baginya.

Berdasarkan fakta kes, polis menahan sebuah kereta yang dipandu tertuduh disyaki di bawah pengaruh alkohol ketika sekatan jalan raya Op Alkohol di Jalan Utara di sini.

Ujian pernafasan yang dijalankan terhadap tertuduh mendapati kandungan alkohol dalam 100 ml darah adalah melebihi 50 mg yang dihadkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: