Bekas ahli UMNO gagal dapat kebenaran cabar RoS, bubar parti

Enam belas bekas ahli UMNO gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran memulakan tindakan undang-undang bagi membubarkan parti politik itu.
Enam belas bekas ahli UMNO gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran memulakan tindakan undang-undang bagi membubarkan parti politik itu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Enam belas bekas ahli UMNO gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran memulakan tindakan undang-undang bagi membubarkan parti politik itu kerana tidak mengadakan pemilihan dalam tempoh yang ditetapkan.

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed memutuskan bahawa relief yang dimohon kesemua bekas ahli UMNO dalam semakan kehakiman mereka kini bersifat akademik kerana parti itu telah selesai mengadakan pemilihan di semua peringkat.

Beliau berkata, status mereka sebagai bekas ahli parti itu tidak boleh dipertikai kerana berdasarkan klausa 20.7 Perlembagaan UMNO, seseorang ahli akan dipecat secara automatik jika memfailkan sebarang tindakan yang mempunyai kaitan dengan parti.

Ketika semakan kehakiman itu difailkan, kesemua perayu masih berdaftar sebagai ahli UMNO di pelbagai cawangan parti.

Keahlian mereka ditamatkan pada 21 April 2018, sehari selepas mereka memfailkan semakan kehakiman itu.

Dalam penghakimannya, Azahar berkata, hujah peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung isu akademik dan locus standi (hak perundangan) mempunyai merit.

Beliau berkata, pertikaian sebenar dalam kes ini adalah berkisar mengenai pelanjutan tempoh bagi mengadakan pemilihan parti dan mahkamah tidak akan campur tangan dengan hal ehwal dalaman sesebuah parti politik.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Artikel Berkaitan:

Prosiding itu diadakan menerusi aplikasi Zoom.

Kesemua 16 bekas ahli UMNO itu telah menamakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan Ab Rauf dalam kapasitinya sebagai penjawat awam, sebagai responden.

Mereka ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Antara lain, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan RoS sebagaimana yang diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018 yang membenarkan pelanjutan masa kepada UMNO untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019, yang melebihi tempoh maksimum ditetapkan.

Mereka juga memohon perintah mandamus bagi memaksa RoS membubarkan sementara UMNO dan menggantung segala aktiviti parti sehingga semakan kehakiman itu selesai.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan kumpulan itu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman dan mereka juga gagal di peringkat Mahkamah Rayuan pada November 2018.

Tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan berhubung dua persoalan perundangan.

Kesemua bekas ahli UMNO itu diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan hadir bagi pihak RoS. - Bernama