Malaysia bukan asing bagi saya, kata duta AS

Brian McFeeters fasih berbahasa Melayu menerusi video yang dimuat naik Kedutaan AS.
Brian McFeeters fasih berbahasa Melayu menerusi video yang dimuat naik Kedutaan AS.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Hello, nama saya Brian McFeeters dan saya Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang baharu" kata duta yang fasih berbahasa Melayu itu menerusi video yang dimuat naik Kedutaan AS di sini.

Kepetahannya berbahasa Melayu membuktikan Malaysia dan rantau ini bukan asing buat McFeeters kerana sepanjang 30 tahun berkhidmat dengan Perkhidmatan Luar Negara, separuh daripada tempoh itu beliau bertugas di Asia Tenggara termasuk sebagai Penasihat Politik Kedutaan AS di Kuala Lumpur bermula 2009 hingga 2011.

Beliau turut meluahkan rasa bertuahnya dapat kembali ke Malaysia bersama keluarganya selepas meninggalkan negara ini sedekad lalu.

Mengenai apa yang mungkin boleh diharapkan daripada McFeeters dan pasukannya di kedutaan, beliau berkata: "Pada dasarnya, memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara. Kami menggalakkan perkongsian ekonomi, membina hubungan keselamatan yang kuat dan memajukan hubungan antara rakyat terutama dalam kalangan belia dari kedua-dua negara".

"Seperti ungkapan Presiden AS, Joe Biden, kita akan menjadi lebih kuat apabila bekerjasama. Kita tidak boleh melakukannya bersendirian,” katanya.

McFeeters juga menghargai Malaysia sebagai rakan kongsi penting AS dan anggota utama ASEAN.

Beliau komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan petugas kesihatan untuk melakukan segala yang mampu bagi memulihkan pandemik Covid-19.

"Ia adalah antara perkara yang akan diteliti oleh pasukan kedutaan. Namun, Kedutaan AS tidak akan mencapai apa-apa tanpa anda. Hubungi sahaja kami bersama idea dan cadangan anda," kata diplomat itu sebelum menamatkan klip video dengan mengucapkan 'semoga berjumpa lagi' dalam bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

McFeeters, yang menggantikan Kamala Shirin Lakhdhir tiba di sini pada petang 26 Februari.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Misi Kedutaan AS di Baghdad, Iraq;, Penasihat Kanan di Pejabat Kaunselor kepada Setiausaha Negara dan Timbalan Penolong Setiausaha Utama di Biro Ekonomi dan Perniagaan Jabatan Negara di Washington.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Misi AS ke Indonesia dan Timbalan Pengarah Pejabat Maritim Asia Tenggara.

Selain fasih berbahasa Inggeris dan Melayu, beliau juga boleh bertutur dalam bahasa Indonesia, Perancis, Sepanyol dan Jerman. - Bernama