Solat Jumaat, fardu di Kedah ikut keluasan masjid

Solat Jumaat dan fardu berjemaah di semua masjid dan surau di Kedah kini berdasarkan kepada keluasan ruang solat.
Solat Jumaat dan fardu berjemaah di semua masjid dan surau di Kedah kini berdasarkan kepada keluasan ruang solat.
A
A
A

ALOR SETAR - Kapasiti solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di semua masjid dan surau negeri Kedah kini berdasarkan kepada keluasan ruang solat atau kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal minimum satu meter.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, kelonggaran itu berkuat kuasa mulai Khamis dan melibatkan semua zon termasuk zon merah.

Menurutnya, pengurusan masjid turut dibenarkan menyediakan ruang tambahan bersesuaian bagi menampung jemaah sekiranya kapasiti masjid tidak mencukupi untuk solat Jumaat.

“Kelonggaran itu dibuat berdasarkan laporan pematuhan arahan pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau amat baik dan tinggi. Selain kadar kes aktif Covid-19 yang agak terkawal di negeri ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Yusri
Mohd Yusri

Mohd Yusri berkata, jemaah yang berumur 12 tahun ke bawah kini dibenarkan solat secara berjemaah kecuali di zon merah, namun keutamaan diberikan kepada jemaah dewasa.

“Semua program keagamaan dan majlis ilmu seperti ceramah, kuliah, kelas agama dan sebagainya di masjid dan surau di semua zon kini dibenarkan, namun tidak melebihi satu jam selain tidak melebihi kapasiti hadirin dibenarkan dalam solat fardu dan solat Jumaat,” katanya.

Menurutnya, hadirin adalah terhad kepada anak kariah dengan mematuhi normal baharu dan protokol kesihatan serta ketetapan yang digariskan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

“Solat jenazah bagi zon merah dibenarkan dan tidak melebihi kapasiti hadirin dibenarkan dalam solat fardu dan solat Jumaat, selain mematuhi normal baharu,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti ziarah kubur turut dibolehkan bagi semua zon.

“Kelonggaran dan kebenaran aktiviti keagamaan di masjid dan surau di zon merah tertakluk kepada arahan atau nasihat dari masa ke masa,” katanya.

Sebelum ini, solat Jumaat bagi zon merah di Kedah dibenarkan maksimum 50 jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, manakala zon hijau, kuning dan jingga berdasarkan keluasan keseluruhan masjid dengan penjarakan fizikal satu meter.

Bagi solat fardu berjemaah di zon merah terhad kepada 20 orang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid serta anak kariah.