X

Kindly register in order to view this article
!

Sijil vaksinasi pintar pengesahan terima suntikan vaksin Covid-19

Dr Adham selepas sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Kementerian Kesihatan hari ini. Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan mengeluarkan sijil vaksinasi pintar sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, perkara itu sedang dibincangkan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan sijil tersebut diterima oleh negara lain.

“Saya telah adakan persidangan secara maya dengan pihak WHO berhubung perkara ini dan sijil ini akan dikemas kini bagi memastikan ia memenuhi piawaian antarabangsa.

“Dalam masa sebulan kita akan laksanakan sijil ini sebagai pengesahan penerimaan suntikan vaksin Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, pengurusan suntikan vaksin Covid-19 di hospital swasta masih dalam proses perbincangan.

Ketika ini katanya, hanya hospital kerajaan menyediakan suntikan vaksin itu secara percuma.

“Jika hospital swasta ingin menjalankan vaksinasi, pihak mereka perlu menggunakan saluran seperti Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia serta beberapa persatuan untuk proses libat urus,” katanya yang menjangkakan perkara itu akan diputuskan pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!