2,407 individu terima suntikan vaksin Covid-19 di Selangor

Amirudin (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai Pusat Operasi C5i Smart Selangor dalam lawatannya pada Rabu. Foto: Ihsan Pejabat MB Selangor
Amirudin (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai Pusat Operasi C5i Smart Selangor dalam lawatannya pada Rabu. Foto: Ihsan Pejabat MB Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 2,047 individu di Selangor telah menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama setakat Selasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 68,677 orang penerima vaksin telah disenaraikan bagi fasa pertama melibatkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), klinik dan hospital swasta, petugas barisan hadapan bukan kesihatan dan pemimpin utama negeri.

Beliau berkata, terdapat lapan hospital dan 30 klinik di negeri ini akan beroperasi bagi melaksanakan proses imunisasi dan vaksin fasa pertama tersebut.

"Selangor kini berada pada landasan yang tepat. Buat masa ini, kita beri ruang untuk selesaikan fasa pertama pemberian vaksin terlebih dahulu," katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) di sini pada Rabu.

Amirudin sebelum ini berkata, Selangor menerima sebanyak 78,000 dos vaksin jenis Pfizer BioNtech setakat 25 Februari lalu bagi fasa pertama imunisasi untuk petugas barisan hadapan dan pemimpin daripada agensi-agensi kerajaan negeri.

Beliau turut menerima dos pertama suntikan vaksin berkenaan di Hospital Shah Alam di sini pada Khamis lalu.

Mengulas mengenai suntikan berkenaan, Amirudin berkata, setakat ini beliau dan barisan Exco Kerajaan Negeri terlibat masih tidak menunjukkan sebarang simptom luar biasa.

"Saya dan Exco bergerak aktif walaupun menerima vaksin. Sehingga kini tiada sebarang simptom," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan berkenaan, Amirudin berkata, SSOC merupakan salah satu daripada 60 inisiatif Smart Selangor yang merupakan infrastruktur asas kepada pengurusan sebuah negeri pintar menjelang tahun 2025.

Katanya, SSOC menempatkan beberapa agensi penting melibatkan operasi harian seperti bas, kutipan sisa dan keselamatan serta pengurusan bencana.

"SSOC juga berupaya memberi maklum balas serta maklumat terkini berkenaan usaha-usaha menangani Covid-19 di negeri ini," katanya.