Kemuka tuntutan palsu PSU, pengarah didenda RM20,000

Eyo Ah Lai (tengah) mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan PSU pada tahun lalu.
Eyo Ah Lai (tengah) mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan PSU pada tahun lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengarah syarikat balak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan di bawah Program Subsidi Upah (PSU) berjumlah RM9,600 ke atas empat pekerja yang tidak layak pada tahun lepas.

Tertuduh, Eyo Ah Lai, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ah Lai didakwa dengan curangnya menggunakan senarai lampiran nama pekerja palsu bagi menuntut subsidi PSU terhadap empat orang pekerja yang tidak layak masing-masing berjumlah RM4,800.

Kesalahan itu dilakukan di syarikatnya di Ayer Hitam, Batu Pahat pada 12 dan 23 April tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Mahirah Mohd Pauzi, manakala tertuduh diwakili peguam T Vijaya Sandran.

Hakim menetapkan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Ahmad Kamal Ariffin turut memerintahkan wang yang dituntut sebanyak RM9,600 itu dilucut hak dan dikembalikan kepada kerajaan Malaysia, manakala sejumlah wang bernilai RM7,780.50 perlu dibayar kepada pekerja yang berhak.

Artikel Berkaitan: