Exco tak puas hati tahap kebersihan medan selera

Izani (kanan) sedang mendengar penerangan daripada mereka yang terlibat dalam operasi pembersihan tersebut.
Izani (kanan) sedang mendengar penerangan daripada mereka yang terlibat dalam operasi pembersihan tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan berharap peniaga medan selera di Dataran Muhammadi dapat menjadi contoh dalam menjaga kebersihan dan kualiti makanan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, amat penting bagi setiap peniaga untuk menjaga kebersihan di gerai milik mereka kerana ia melambangkan imej negeri Kelantan itu sendiri.

“Saya ada buat lawatan mengejut ke Dataran Muhammadi dan saya tidak berpuas hati dengan kebersihan gerai mereka. Saya sudah berbincang dengan pemilik kedai supaya mereka ubah dan baiki apa yang patut.

“Saya beri tempoh seminggu untuk mereka siapkan balik apa yang perlu dan beri wajah baharu kepada kedai-kedai mereka kerana saya yakin, dengan masakan yang sedap dapat menarik lebih ramai pelanggan selepas ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Selasa.

Menurutnya, lawatan tersebut dilakukan berdasarkan aduan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan kebersihan gerai makanan di kawasan tersebut.

Malah katanya, selepas itu beliau telahpun mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) untuk menjalankan operasi pembersihan dan juga menempatkan pekerja bagi menguruskan kawasan tersebut dengan baik.

Dataran Muhammadi merupakan salah satu kawasan tumpuan pelancong kerana berada berdekatan dengan pusat pelancongan negeri dan Masjid Muhammadi.
Dataran Muhammadi merupakan salah satu kawasan tumpuan pelancong kerana berada berdekatan dengan pusat pelancongan negeri dan Masjid Muhammadi.

“Dalam kempen Kelantanku Bersih ini, kita menjadikan medan selera di Dataran Muhammadi sebagai satu medan tarikan dan keceriaan bagi menarik pelancong.

Artikel Berkaitan:

“Sepatutnya orang yang tiba di Masjid Muhammadi dan dataran tersebut tidak lagi perlu ke lokasi lain untuk makan dan rehat sebab semuanya telah kita sediakan," katanya.

Beliau berkata, pelbagai makanan ditawarkan di medan selera di Dataran Muhammadi dan berharap peniaga dapat kekalkan kebersihan.

“Meja makan, kerusi, pinggan mangkuk semua mesti bersih. Pakaian peniaga pun sama, kemas dan bersih, pakai penutup muka dan sebagainya.

“Kalau ada apa-apa yang tidak cukup, buat permohonan dengan kita. Insya-ALLAH kita bantu apa yang boleh. Sama-sama kita bantu supaya peniaga semua boleh kembali bernafas selepas terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Katanya, pihaknya juga mendapati ada segelintir gelandangan yang tinggal di kawasan tersebut dan perkara itu telahpun dimajukan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.