Isu ADUN Sebatik: Warisan ambil tindakan undang-undang

Hassan didakwa telah melafazkan janji taat setia kepada Warisan secara sukarela tanpa unsur paksaan dalam parti. Gambar kiri: Loretto Padua
Hassan didakwa telah melafazkan janji taat setia kepada Warisan secara sukarela tanpa unsur paksaan dalam parti. Gambar kiri: Loretto Padua
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) akan mengambil tindakan undang-undang segera untuk memastikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya menerima peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir dan seterusnya mengosongkan kerusi DUN tersebut.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, peguam parti mempunyai dokumen yang jelas menunjukkan Hassan setuju menarik diri jika beliau keluar daripada Warisan dan juga secara rela menandatangani surat taat setia kepada Warisan.

"Dalam surat bertarikh 10 September 2020 kepada peguamnya, Hassan mengarahkan mereka untuk meletakkan tarikh dan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Speaker dan Yang di-Pertua Negeri Sabah (Tun Juhar Mahiruddin) sekiranya beliau menyatakan diri sebagai bebas sebelum atau selepas dilantik sebagai ADUN.

"Peguam melaksanakan arahan itu susulan pengumumannya untuk menjadi bebas pada 25 Februari lalu dan surat peletakan jawatan Hassan bertarikh 26 Februari dan kemudian diserahkan kepada Speaker," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Warisan sebelum ini memaparkan satu video berkaitan Hassan yang bersumpah untuk setia kepada parti atas nama Tuhan dan turut mengatakan bahawa beliau akan tetap bersama parti itu sehingga ke akhirnya.

Dalam video yang dirakam tahun lalu itu, beliau dijadikan sebagai calon Warisan untuk kerusi DUN Sebatik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 dan berjanji untuk menyerahkan surat peletakan jawatan jika melanggar taat setia kepada Warisan.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Sebatik dakwa sumpah setia pada Warisan tidak sah

Loretto dalam pada itu berkata, semua calon Warisan telah melakukan janji taat setia kepada parti secara sukarela tanpa unsur paksaan dalam parti.

"Malah, ini adalah peluang kedua Hassan bertanding dalam pilihan raya di bawah tiket Warisan selepas tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Artikel Berkaitan:

"Warisan sedih dengan keputusan Speaker untuk tidak menerima peletakan jawatan Hassan. Oleh itu, Warisan akan mengambil tindakan perundangan yang lain dengan segera," katanya.

Terdahulu, Kadzim pada sidang akhbarnya pada Rabu memaklumkan bahawa kerusi DUN Sebatik kekal dan tidak dikosongkan selepas surat peletakan jawatan Hassan yang diserahkan Loretto didapati batal kerana surat itu ditandatangani dengan tidak bertarikh.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Sebatik kekal wakil rakyat bebas sokong GRS: Speaker Sabah