X

Kindly register in order to view this article
!

Palsu dokumen: Kontraktor dijel sehari, denda RM90,000

Zulfadhli hadir ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.
A
A

ALOR SETAR - Seorang kontraktor dipenjara sehari serta denda RM90,000 selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan memalsukan beberapa dokumen program dan aktiviti pelancongan di bawah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kedah pada 2014 dan 2016.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Zulfadhli Mahdir, 36, di hadapan Hakim Murtazadi Amran di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.

Namun mahkamah menetapkan hukuman kepada tiga pertuduhan sahaja, manakala tiga lagi pertuduhan menggunakan Take Into Consideration (TIC) selepas Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping memohon mahkamah mengguna pakai TIC sebelum hakim menjatuhkan hukuman.

Berdasarkan pertuduhan pertama pada 9 Jun 2014, dia didakwa menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu surat bayaran bagi program dan aktiviti pelancongan di bawah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kedah bertarikh 8 Jun 2014.

Satu lagi surat bayaran bagi program dan aktiviti pelancongan di bawah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kedah bertarikh 3 Julai 2014 serta Invois Tuntutan Perkhidmatan Menyewa Khemah dan Peralatan Majlis bertarikh 28 Mei 2014 berjumlah RM76,700 yang dipercayai dokumen tersebut adalah palsu di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah dalam daerah Kota Setar.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu surat bayaran bagi program dan aktiviti pelancongan, Invois Tuntutan Perkhidmatan Menyewa Peralatan Majlis dan Gelanggang Muay Thai berjumlah RM97,759 yang kedua-duanya bertarikh 11 Mei 2014 serta mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu palsu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Zulfadhli dituduh memalsukan surat bayaran bagi program dan aktiviti pelancongan, Invois Tuntutan Perkhidmatan Menyewa Khemah dan Alatan Majlis Pesta Songkran pada 11 Mei 2014 berjumlah RM79,810.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut pada 14 Mei 2014 juga di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah dalam daerah Kota Setar.

Bagi pertuduhan pertama menggunakan TIC, Zulfadhli dituduh menggunakan surat bayaran bertarikh 11 Mei 2014 dan Invois Tuntutan Bagi Kejohanan Muay Thai Peringkat Antarabangsa di Dewan Antarabangsa Mahsuri, Langkawi pada 1 hingga 10 Mei 2014 berjumlah RM76,000 bertempat di pejabat pembangunan persekutuan itu pada 14 Mei 2014.

Pertuduhan kedua, dia dituduh menggunakan surat bayaran itu bertarikh 27 Januari 2016 dan Invois Tuntutan Bagi Perkhidmatan Menyediakan Pengangkutan Sempena Pesta Air Langkawi 2014 berjumlah RM33,220 di lokasi sama pada 28 Januari 2016.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa menggunakan surat bayaran itu bertarikh 27 Januari 2016 dan Invois Tuntutan Bagi Penginapan dan Jamuan Makan Sempena Pesta Air Langkawi berjumlah RM46,450 bertempat di lokasi sama pada 28 Januari 2016.

Kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Peguam tertuduh, Muhamad Aizat Fakri memohon mahkamah memberikan denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan selepas anak guamnya memberikan kerjasama yang baik kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang tempoh siasatan dijalankan selain perlu menyara seorang isteri, empat anak, ibu bapa dan mentuanya.

Namun Siew Ping yang mewakili SPRM memohon denda yang tinggi kepada tertuduh kerana tindakannya telah memberikan kerugian kepada rakyat dan negara sehingga lebih RM400,000.

Selepas mempertimbangkan semua perkara, hakim menetapkan denda RM30,000 bagi setiap pertuduhan selain menetapkan hukuman penjara satu tahun jika tertuduh gagal melangsaikan setiap satu daripada denda yang dikenakan ke atasnya itu manakala hukuman penjara sehari itu berjalan serentak bermula pada Rabu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!