Yeop mara penuh kesukaran

Pasukan Perak meraikan kejayaan semalam. Foto: Perak FA
A
A

KITA mara dengan penuh kesukaran,”

Itu reaksi Ketua Jurulatih Perak Mehmed Durakovic mengulas kejayaan skuad The Bos Gaurus mara ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), selepas menewaskan kelab Hong Kong, Kitchee FC 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan di Stadium Perak, semalam.

Durakovic berkata, skuad Kejor Yeop Skor itu seharusnya memenangi perlawanan dalam tempoh 90 minit, namun deretan peluang di depan gawang pelawat gagal disempurnakan dengan baik.

Menurutnya, biarpun beraksi baik di sepanjang 90 minit perlawanan termasuk berdepan lawan yang hanya beraksi dengan 10 pemain, skuad The Bos Gaurus itu pula yang dihukum dengan gol penyamaan pelawat.

“Kita lakukannya dengan cara yang susah. Sepanjang 90 minit permainan kita beraksi cukup baik dan seharusnya menang dengan tiga atau empat jaringan.

“Tetapi, inilah bola sepak. Apabila kita gagal memanfaatkan peluang kita akan dihukum. Bagaimanapun, kredit tetap diberikan kepada pemain serta pegawai pasukan atas kejayaan ini,

“Sebenarnya bukan mudah untuk berdepan pasukan yang beraksi dengan 10 pemain kerana setiap pemainnya akan memberikan aksi terbaik. Bagaimanapun, inilah hakikatnya dan pasukan yang terbaik akan menang,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan, semalam.

Pada pusingan ketiga kelayakan ACL yang dijadualkan berlangsung 19 Februari ini, Perak bakal berdepan berdepan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai di Stadium Ulsan Munsu.

Sementara itu Durakovic berharap kesebelasan anak didiknya kembali cergas menjelang aksi Liga Super berdepan Kuala Lumpur di Stadium Cheras, Jumaat ini.

Katanya, aksi berdepan skuad The City Boys itu dilihat penting dalam usaha mengukuhkan kedudukan skuad The Bos Gurus itu dalam carta saingan Liga Super musim ini.

“Kita akan berdepan Kuala Lumpur 15 Februari ini. Perlawanan ini juga penting sebelum berlepas ke Korea Selatan.

“Kita juga tidak memiliki skuad yang besar dan apa yang penting kita akan lakukan rawatan pemulihan termasuk mengadakan sesi latihan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Korea Selatan.

“Cuma malam ini (semalam), kami mahu pulang dan meraikan kejayaan ini kerana kita telah mencipta sejarah,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia