'Fast track' selesaikan isu capaian di kawasan berkeutamaan tinggi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mewujudkan proses 'fast track' bagi menyelesaikan isu-isu capaian di kawasan berkeutamaan tinggi.

Kawasan keutamaan tinggi yang dikenal pasti oleh SKMM adalah pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri, hab pengangkutan dan jaluran pengangkutan, kawasan berimpak tinggi ekonomi, projek kerajaan yang dikenal pasti di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), projek Jendela, kawasan keutamaan tinggi bagi pelaksanaan 5G dan kawasan yang mempunyai pemberi perkhidmatan eksklusif.

Menurut SKMM, langkah itu diambil berikutan aduan pengguna tentang kelewatan pemasangan perkhidmatan komunikasi di beberapa kawasan keutamaan tinggi akibat rundingan komersial yang berlarutan antara syarikat-syarikat pemberi perkhidmatan.

"Inisiatif ini yang disokong dengan pelaksanaan Jendela, diambil bagi memastikan pengguna mendapat akses perkhidmatan komunikasi yang berkualiti dalam tempoh yang berpatutan.

"Usaha ini sangat penting semasa mengharungi pandemik Covid-19 yang meningkatkan pergantungan pengguna, peniaga dan kerajaan terhadap perkhidmatan komunikasi untuk melaksanakan urusan setiap hari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, SKMM berkata, pihaknya mengarahkan syarikat-syarikat pemberi perkhidmatan memuktamadkan rundingan komersial bagi kawasan keutamaan tinggi yang telah dikenal pasti dalam tempoh 10 hari bekerja.

"Syarikat pemberi perkhidmatan telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Proses fast track ini berkuat kuasa serta-merta dan syarikat pemberi perkhidmatan dikehendaki mengemukakan isu-isu dengan perincian yang relevan untuk diputuskan oleh SKMM melalui salinan elektronik kepada fast.track@mcmc.gov.my," katanya.

Artikel Berkaitan: