Aminuddin sihat, hanya lenguh tangan yang disuntik

Aminuddin menunjukkan kad merah membuktikan beliau mempunyai alahan kepada ubat-ubatan.
Aminuddin menunjukkan kad merah membuktikan beliau mempunyai alahan kepada ubat-ubatan.
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berada dalam keadaan sihat selepas 24 jam disuntik vaksin Covid-19.

Menurut Aminuddin, beliau hanya mengalami sakit tangan di bahagian yang disuntik namun tidak serius.

"Selepas disuntik saya rasa mengantuk dan berehat, cuma sekarang tangan rasa sakit sikit tetapi itu perkara biasa.

"Saya harap rakyat di Negeri Sembilan jangan takut, jangan bimbang kerana kita perlu yakin vaksin itu baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu beliau alah kepada ubat dan bersyukur suntikan vaksin Covid-19 itu tidak menjejaskan kesihatannya.

"Saya sebelum ini memang ada alahan kepada ubat tetapi setelah setengah jam disuntik semalam alhamdulillah tidak ada rasa apa-apa, saya sihat sahaja," katanya.

Pada Selasa, Menteri Besar dan Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan menjadi antara individu awal yang menerima suntikan dos pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Kedua-dua pemimpin itu selamat menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pada jam 3 petang.

Artikel Berkaitan:

Pemberian suntikan vaksin fasa pertama di negeri ini melibatkan seramai 21,000 petugas barisan hadapan.

“Pemberian vaksin bagi fasa satu bermula pada Isnin (1 Mac) melibatkan seramai 586 petugas barisan hadapan.

“Jumlah dos vaksin yang diterima di Negeri Sembilan sehingga hari ini ialah sebanyak 19,890 iaitu untuk kegunaan seramai 9,945 orang petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata, pembekalan vaksin yang mencukupi untuk semua petugas barisan hadapan akan dibuat secara berperingkat.