Pesara mengaku salah adakan majlis makan ketika PKP 2.0

Tertuduh (tengah) mengaku bersalah atas pertuduhan mengadakan majlis makan ketika PKP 2.0 di Mahkamah Majistret Temerloh pada Rabu.
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah atas pertuduhan mengadakan majlis makan ketika PKP 2.0 di Mahkamah Majistret Temerloh pada Rabu.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMASKINI] Seorang pesara mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh pada Rabu atas pertuduhan mengadakan majlis makan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Tertuduh, Abu Bakar Osman, 59, dari Bukit Keramat, Mentakab, di sini membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Ti Pei Si manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izati Abdul Mutalif.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 13 Februari 2021 di antara jam 1 hingga 2 petang bertempat di sebuah rumah di Bukit Keramat, Mentakab tertuduh telah mengadakan majlis makan yang diketahui dan dipercayai sebagai mungkin menyebabkan jangkitan penyakit berbahaya.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK) Tan Yu Tang kelihatan tenang ketika membuat pengakuan tersebut.

Dalam rayuan yang dikemukakan, Yu Tang memberitahu, tertuduh merupakan pesara dengan pencen bulanan RM1,500 dan masih mempunyai dua tanggungan iaitu isteri dan seorang anak.

Sementara itu, Rifah memohon supaya tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 namun Pei Si menetapkan ikat jamin RM1,000 dan seorang penjamin.

Pei Si kemudiannya menetapkan 23 Mac depan untuk membentangkan fakta kes dan hukuman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, lelaki terbabit telah mengadakan majlis kahwin anaknya ketika tempoh PKP 2.0 hingga menyebabkan enam ahli keluarganya dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, lelaki yang juga tuan rumah hanya mendapat kebenaran untuk menjalankan majlis akad nikah untuk anaknya tetapi tidak dibenarkan mengadakan kenduri.

"Namun lelaki itu telah mengadakan kenduri secara diam-diam pada 13 Februari 2021 dengan memanggil jiran serta sanak saudara.

"Beberapa hari kemudian salah seorang ahli keluarga yang datang ke kenduri itu disahkan positif Covid-19 dan hasil saringan terhadap ahli keluarga lain mendapati enam orang disahkan positif," katanya lagi.