12 'hotspot' pembakaran terbuka di Melaka dikenal pasti

Dua anggota bomba yang sedang memadam kebakaran belukar dan ladang kelapa sawit di Kampung Bukit Durian, Serkam baru-baru ini. Gambar kecil: Abu Obaidat Mohamad
Dua anggota bomba yang sedang memadam kebakaran belukar dan ladang kelapa sawit di Kampung Bukit Durian, Serkam baru-baru ini. Gambar kecil: Abu Obaidat Mohamad
A
A
A

MELAKA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka memantau 12 lokasi panas yang berpotensi menjadi kawasan pembakaran terbuka impak cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga April depan.

Pengarahnya, Abu Obaidat Mohamad berkata, pihaknya membuat pemantauan termasuk di daerah Jasin yang mempunyai banyak kawasan tanah gambut berisiko berlaku kebakaran terbuka.

Menurutnya, sebuah jentera bomba juga digerakkan setiap hari untuk melakukan rondaan di kesemua lokasi panas yang telah disenaraikan.

"Sebenarnya kebakaran senang berlaku di kawasan yang bertanah gambut sepanjang musim panas pada awal tahun.

"Contohnya, kejadian terbaharu, kes kebakaran di sebuah belukar dan ladang kelapa sawit di Kampung Bukit Durian, Serkam yang mengambil masa dua hari untuk dipadamkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat proses suntikan vaksin membabitkan anggota bomba di Ibu Pejabat JBPM Melaka, di Bukit Katil, di sini pada Rabu.

Abu Obaidat (depan, tengah) bersama anggota yang telah divaksin di Ibu Pejabat JBPM Melaka, Bukit Katil pada Rabu.
Abu Obaidat (depan, tengah) bersama anggota yang telah divaksin di Ibu Pejabat JBPM Melaka, Bukit Katil pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abu Obaidat berkata, sejak awal tahun sehingga Februari lalu, pihaknya telah melakukan sebanyak 457 operasi pemadaman membabitkan pembakaran terbuka.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun menurutnya, bilangan itu menurun sebanyak 62 kes berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 519 kes pembakaran terbuka.

Katanya, hasil siasatan mendapati kebanyakan kes pembakaran terbuka berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya barbeku di hutan yang tidak dipadamkan, pembakaran sisa tanaman oleh petani, pembuangan puntung rokok merata-rata dan aktiviti membersihkan halaman rumah dengan membakar sisa-sisa daun kering.

"Kita menasihati orang ramai agar menghentikan seketika sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran dalam masa terdekat berikutan cuaca panas," katanya.

Pada program itu, seramai 54 daripada 543 anggota dan pegawai JBPM Melaka menerima suntikan vaksin fasa pertama.