PRU15: Bersatu bayang letak calon di Sabak Bernam

Mohd Fasiah melakukan kerja-kerja sanitasi di Masjid Panchang Bedena, Sabak Bernam pada Rabu.
Mohd Fasiah melakukan kerja-kerja sanitasi di Masjid Panchang Bedena, Sabak Bernam pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sabak Bernam membayangkan bakal meletakkan calon di salah satu daripada tiga kerusi di Parlimen Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, pihaknya optimis sekiranya ada kerjasama dengan UMNO dan Pas di bawah lambang Perikatan Nasional (PN), pembahagian kerusi itu dapat dimuktamadkan.

"Teorinya mudah, di Sabak Bernam ada tiga kerusi dan setiap parti (Bersatu, UMNO dan Pas) masing-masing bertanding di salah satu kerusi tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas Program Sanitasi Masjid Panchang Bedena, di sini pada Rabu.

Mohd Fasiah yang juga Ahli Parlimen Sabak Bernam berkata, Bersatu juga mempunyai kekuatan tersendiri apabila berjaya menambah jumlah keahlian dan membuka lebih banyak cawangan di seluruh Parlimen itu.

"Sudah pasti Bersatu juga hendak kerusi. Kita ada kekuatan kerana sudah membuka sebanyak 44 cawangan dengan 20 lagi cawangan akan dibuka hujung tahun ini," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Fasiah berkata, keputusan meletakkan calon daripada parti itu diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan.

"Terpulang kepada pucuk pimpinan kerana paling penting perpaduan antara kesemua parti ini penting untuk membantu rakyat dan demi pembangunan negara pada masa depan," katanya.

Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Sabak Bernam dimenangi Mohd Fasiah atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum mengambil keputusan menyertai Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Kerusi DUN Sungai Air Tawar pula dimenangi calon BN, Datuk Rizam Ismail dan DUN Sabak dimenangi calon Parti Amanah Negara (Amanah), Ahmad Mustain Othman yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).