X

Kindly register in order to view this article
!

Kerja baik pulih kabel Jambatan Pulau Pinang mula Khamis

Kabel di bawah Jambatan Pulau Pinang yang terbakar dalam kejadian pada Isnin minggu lalu.
A
A

GEORGETOWN - Kontraktor yang dilantik Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melakukan kerja-kerja baik pulih kabel elektrik di Jambatan Pulau Pinang mulai Khamis.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tempoh untuk membaik pulih sepenuhnya kabel tersebut dijangka memakan masa selama 119 hari.

Menurutnya, TNB telah bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam pelantikan kontraktor untuk menjalankan kerja membaik pulih tersebut.

"Kita belum dapat maklumat penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai punca kebakaran pada kabel tersebut. Jika tiada apa-apa halangan, kontraktor yang dilantik akan mula masuk ke tapak untuk proses pembaikan pada esok (Khamis).

"Kerja baik pulih itu akan mengambil masa selama 119 hari, kira-kira empat bulan," katanya pada sidang akhbar selepas serahan replika cek pada Program Ceria Ke Sekolah TNB di Menara JKP di sini pada Rabu.

Mahdzir (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Sheikh Musa Sheikh Fadzil pada Rabu.
Mahdzir (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Sheikh Musa Sheikh Fadzil pada Rabu.

Mahdzir berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan kos membaik pulih juga dalam penilaian.

Sebelum ini, TNB mengesahkan tiada berlaku kebakaran baharu pada ketiga-tiga kabel 132 kilo volt (kV) di Jambatan Pulau Pinang susulan kebakaran pada kabel bawah jambatan tersebut.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, laporan yang mengatakan berlaku kebakaran baharu pada kabel di jambatan tersebut tidak tepat susulan pihak bomba hanya memadamkan sisa kebakaran.

Dalam kejadian pada petang Isnin, kebakaran di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara menyebabkan keadaan trafik di atas jambatan tersebut sesak.

Kebakaran dikesan berlaku kira-kira jam 4 petang dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan.

Bomba bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang terpaksa menggunakan bot ke lokasi kebakaran untuk memadam api dari bawah berikutan ia melibatkan kabel elektrik di bawah jambatan terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabel elektrik Jambatan Pulau Pinang terbakar

Dalam pada itu, Mahdzir menyampaikan cek replika kepada Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzil bernilai RM14,000 bagi program khidmat sosial (CSR) TNB untuk disalurkan kepada 1,400 pelajar terpilih di Pulau Pinang.

Katanya, program CSR tersebut menelan belanja sebanyak RM3 juta bagi tahun ini untuk seluruh negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!