Rakyat Malaysia bebas tuduhan dadah di Singapura

Beh Chew Boo dibebaskan selepas panel hakim mengetepikan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan empat pertuduhan yang lebih ringan berkaitan dadah terhadap lelaki itu.
Beh Chew Boo dibebaskan selepas panel hakim mengetepikan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan empat pertuduhan yang lebih ringan berkaitan dadah terhadap lelaki itu.
A
A
A

SINGAPURA - Rakyat Malaysia berumur 38 tahun yang terselamat dari hukuman gantung pada 13 Oktober 2020 selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya dari pertuduhan berat berkaitan dadah, akhirnya melangkah keluar dari tahanan sebagai lelaki yang bebas.

Akhbar Straits Times melaporkan bahawa Beh Chew Boo dibebaskan selepas panel hakim yang sama mengetepikan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan empat pertuduhan yang lebih ringan berkaitan dadah terhadap lelaki itu.

Hakim yang terdiri daripada Sundaresh Menon, Tay Yong Kwang dan Steven Chong, membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada, Chew Boo menurut akhbar harian itu.

Chew Boo, yang ditahan pada 26 Oktober 2016 atas dakwaan cuba membawa masuk 499.97 gram metamfetamin dari Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands, berhadapan dengan lima pertuduhan membawa dadah ke republik itu.

Bagaimanapun pihak pendakwa hanya meneruskan pendakwaan terhadap Chew Boo dengan hanya satu pertuduhan berat yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Chew Boo disabitkan Mahkamah Tinggi dengan kesalahan membawa dadah jenis methamphetamine seberat 499.97gram dan dijatuhi hukuman mati pada awal tahun 2020.

Chew Boo memasuki Singapura dari Malaysia dengan menunggang motosikal milik rakannya yang didaftarkan di Malaysia bersama teman wanitanya Ting Swee Ling yang membonceng motosikal itu.

Dadah yang dirampas mengandungi tidak kurang dari 742.82gram serbuk hablur yang selepas dianalisis, ia didapati mengandungi tidak kurang dari 499.97gram metamfetamin. - Bernama

Artikel Berkaitan: