Bekas pengurus didakwa 16 pertuduhan pengubahan wang haram

Tertuduh diiring polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
Tertuduh diiring polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas pengurus syarikat perumahan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas 16 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai RM209,000 pada lima tahun lalu.

Tertuduh, Wong Tze Wei, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melupuskan wang hasil daripada suatu aktiviti haram melalui baucar pembayaran milik Great Five Development Sdn Bhd yang nilai keseluruhan berjumlah RM209,000.

Kesalahan itu dilakukan antara 2 Februari 30 Mac 2016 di Great Five Development Sdn Bhd di Jalan Era Square 4 di Seremban.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613).

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan ia merupakan kesalahan serius.

Peguam, S Prakash merayu jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan atas alasan tertuduh telah hilang pekerjaan dan isterinya juga tidak bekerja.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tertuduh juga sebelum ini telahpun membayar jaminan sebanyak RM460,000 bagi 78 pertuduhan kes di bawah Seksyen 408 dan 409 Kanun Keseksaan pada tahun 2018.

Madihah menetapkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh diberi tempoh sehingga Isnin untuk menjelaskan wang jaminan berkenaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 8 dan 9 Mac ini.