Bilionair tawar 8 tempat untuk orang ramai ke bulan

Yusaku Maezawa - Foto AFP
Yusaku Maezawa - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Seorang bilionair Jepun, Yusaku Maezawa akan memilih lapan orang awam dari seluruh dunia untuk menyertainya dalam ekspedisi ke bulan yang ditaja olehnya dengan menaiki roket Starship buatan syarikat SpaceX pada tahun 2023, menurut video taikun fesyen itu pada Rabu.

Beliau sebelum ini menjadi lelaki pertama di dunia pada tahun 2018 yang menempah kerusi dengan menaiki roket tersebut yang dibina oleh syarikat milik bilionair dari Afrika Selatan, Elon Musk.

Maezawa tidak mendedahkan jumlah sebenar yang dibayarnya untuk ke bulan pada tahun 2023.

Menurut portal berita CNN, bilionair itu akan membayar kos bagi menaiki penerbangan itu menyebabkan sesiapa yang menyertainya akan terbang secara percuma.

Pada awalnya, beliau merancang untuk mengundang enam hingga lapan artis untuk pergi bersamanya ke bulan.

Namun, pada Rabu, satu video yang disiarkan di akaun Twitter miliknya, mendedahkan beliau membuka permohonan kepada orang ramai dari seluruh dunia untuk dipilih bagi menyertainya melancong ke bulan.

"Saya mengundang anda untuk menyertai saya dalam misi ini (ke bulan). Lapan orang dari seluruh dunia. Saya telah membeli kerusi. Justeru, ia akan menjadi penerbangan peribadi," ujarnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Misi itu dijangka mengambil masa selama tiga hari ke bulan.

Artikel Berkaitan:

Bilionair itu berkata, kira-kira 10 atau 12 orang akan menaiki roket itu.

Menurut portal berita CNN, laman sesawang dearMoon menyatakan, prapendaftaran untuk pemohon menyertai misi itu dibuka sehingga 14 Mac ini.

Pemohon perlu memasukkan nama, negara, alamat emel dan gambar profil manakala proses temu duga terakhir dan pemeriksaan perubatan akan dilakukan pada lewat Mei tahun ini. - Agensi