Rusuhan kuil: Pemaju dakwa bantu pindah, bukan merusuh

No Image Caption
A
A
A
SUBANG JAYA - Syarikat pemaju dikaitkan dengan Kuil Sri Maha Mariamman USJ25, Putra Height, di sini, mendakwa individu yang berada di lokasi kejadian sewaktu rusuhan berlaku diarahkan untuk membantu menyediakan perkhidmatan logistik di sana.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan One City Development Sdn Bhd, anak syarikat MCT BHD, individu tersebut turut diarahkan untuk membantu penempatan semula di bawah pemerhatian polis.

Malah, syarikat tersebut turut menafikan dakwaan mereka mengupah atau mengarahkan ‘samseng’ membuat rusuhan di kuil berkenaan.

Syarikat berkenaan turut menafikan dakwaan seperti dilaporkan dalam media sejak kebelakangan ini.

Mahkamah Majistret di sini, hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman selama tiga hari terhadap dua pekerja syarikat pemaju tersebut bagi membantu siasatan kes rusuhan di kuil tersebut.

Majistret Nor Ariffin Hisham mengeluarkan perintah reman bermula esok sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap kedua-dua suspek termasuk seorang penasihat undang-undang syarikat pemaju itu yang tempoh reman mereka akan tamat pada tengah malam ini.

Semalam mahkamah mengeluarkan perintah tahanan reman selama dua hari terhadap kedua-dua suspek itu.

Sementara itu, perintah reman selama empat hari turut dikeluarkan terhadap empat lagi individu yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun untuk membantu siasatan kes sama.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).
Artikel Berkaitan:


Setakat ini 20 orang telah ditahan reman bagi membantu siasatan kejadian rusuhan yang berlaku di perkarangan kuil serta kawasan sekitar pada awal Isnin dan Selasa yang turut menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah.