'Tiada lagi negeri PKP, bila Parlimen boleh bersidang'- Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan bilakah kerajaan berhasrat untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah supaya mengadakan persidangan Parlimen.

Ini katanya, kerana negara sudah menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lebih banyak perniagaan dibenarkan dibuka.

"Memandangkan tiada lagi negeri dikenakan PKP, agak-agaknya bila pula Parlimen boleh kembali bersidang," soalnya dalam kenyataannya di laman Facebooknya pada malam Selasa.

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan berkuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang bermula 5 Mac ini, manakala pada masa sama, penguatkuasaan PKPB kekal di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak.

Bagi Melaka, Pahang,Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dikuatkuasakan, juga bermula 5 Mac ini. Penguatkuasaan PKPP kekal di Perlis.

Bermula 5 Mac pusat pelancongan, pawagam dan pusat penjagaan diri dibenarkan beroperasi tertakluk prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan Covid-19.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Yang di-Pertuan Agong telah bertitah bahawa "tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat."

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sidang Dewan Rakyat perlu berlangsung walaupun dalam keadaan darurat.

Artikel Berkaitan:

"Pak Menteri sila 'move on'. Jom kita bersidang demi kepentingan rakyat dan negara. Inikan negara demokrasi," katanya lagi.

PKP mula dilaksanakan pada 13 Januari. Pengisytiharan darurat pula pada 11 Januari.

Pengisytiharan darurat, yang berakhir pada Ogos ini, juga menyaksikan penggantungan Parlimen.