Zumba bikin wanita ketagih

Beberapa pakar memberi pandangan tentang teori senaman ini dikatakan mampu menurunkan berat badan.

A
A
A
BEBERAPA minit sebelum pukul 8.15 malam, Marina Azizi, 35, lengkap berbaju-T dan seluar sukan sudah tercegat di sebuah kelab kecergasan di pekan Bagan Serai, Perak.

Sebagaimana Marina, Afza Nor Liyana Ahmad Puad bersama 20 orang rakan lain turut bersemangat.

Mereka semua kelihatan ceria, berbual rancak dan saling usik-mengusik sambil melakukan aktiviti regangan. Nampaknya masing-masing tidak sabar untuk berzumba.

Suasana hingar-bingar tadi terganggu seketika tatkala muzik latin kedengaran. Suara jurulatih Zumba Instructor Network (ZIN), Wardah Karim, 39, atau ZIN Wardah mula kedengaran.

ZIN Wardah sudah mulakan pergerakan selari dengan alunan muzik. Tanpa bersungguh mengajak segerombolan wanita tadi, mereka secara automatik memenuhkan ruang dan memulakan rentak.

Mereka kelihatan mengah dan berpeluh sakan! Namun, kepenatan itu tidak menggambarkan kekesalan. Malah adrenalin wanita-wanita gigih ini semakin membuak-buak.

Kepada Sihat:Aktif, Marina berkata, beliau sudah kehilangan berat badan sebanyak 30 kilogram (kg) sejak menyertai zumba dua tahun lalu. Berat badan asalnya selepas melahirkan anak pertama ialah 98kg.


BERAT badan Marina susut sehingga 30kg selepas dua tahun berzumba.
BERAT badan Marina susut sehingga 30kg selepas dua tahun berzumba.



“Saya mahu berzumba sebab rasa lebih cepat boleh kurus. Sebelum ini, saya berjoging selama sejam sehari, pembakaran lemak hanya 300 ke 400 kalori berbanding zumba, 700 kalori. Walaupun belum cecah berat badan ideal, saya rasa fit,” kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Artikel Berkaitan:


Apa cerita Afza Nor Liyana pula? Hasilnya juga positif. Wanita berusia 29 tahun ini berjaya membuktikan aktiviti zumba memang pilihan tepat apabila beliau berjaya mampu mencapai berat 63kg daripada berat asal 89kg.


TERKINI. Afza Nor Liyana kelihatan langsing selepas aktif berzumba di samping menjaga pemakanannya.
TERKINI. Afza Nor Liyana kelihatan langsing selepas aktif berzumba di samping menjaga pemakanannya.



Wah, nampaknya cakap-cakap bahawa zumba mampu membantu untuk kurus semacam benar!

Awaspemakanan

Sebagai jurulatih, begini pandangan ZIN Wardah. Ujarnya, zumba hanya membantu sebanyak 20 peratus proses menurunkan berat badan.

ZIN Wardah
ZIN Wardah



“Selebihnya iaitu 80 peratus, kena jaga makan. Ia penting. Di kelas saya misalnya, 90 peratus berjaya kurus. Namun, selepas berzumba, saya akan kongsi tip jaga berat badan dan makanan sesuai dimakan,” ujarnya yang menganjurkan kelas senaman hampir setiap hari dengan tiga sesi sehari.

Sebenarnya, apa yang hebat sangat dengan zumba ini? Kenapa zumba tiba-tiba menjadi trend sehinggakan kebanyakan gimnasium serata negara mempunyai kelas khas?

Menjawab soalan itu, ZIN Wardah menjelaskan, zumba ini adalah satu keriangan.

“Dua tahun lalu, saya buat banyak jenis senaman fitness lain tapi kurang fun. Namun, bila kita mulakan zumba, kita lihat wanita semacam ‘ketagih’ untuk sertai kami.

“Menariknya zumba, ia boleh dilakukan dalam keadaan ceria, usik-mengusik dan santai. Kebanyakan yang hadir mahu bersosial sebab mereka letih, stres di tempat kerja, jadi mereka mahu sesuatu yang menggembirakan,” katanya.

Dalam sejarah penganjuran kelasnya, terdapat satu kes yang mana seorang pesertanya yang mempunyai berat hampir 100kg berjaya menurunkan berat sehingga 40kg.

Pendapat Wardah selari dengan seorang lagi jurulatih zumba, ZIN Zanariah Yahya, 43.

ZIN Zanariah
ZIN Zanariah



“Zumba memang seronok tapi bagi saya paling penting ialah bagaimana seseorang mengatur pemakanan yang berkhasiat setiap hari,” katanya.

Memberikan contoh dirinya sendiri, biarpun sebelum ini beliau agak kurus iaitu 47kg sahaja, namun mempunyai jumlah lemak yang terkandung dalam badannya tinggi.

“Itu sebab saya akan jaga pemakanan sebaiknya. Selain berzumba, saya juga pergi mendaki, berenang, angkat berat dan berbasikal. Peserta zumba lain juga boleh pelbagaikan aktiviti,” katanya.

Selain itu, pesan ZIN Zanariah kepada pembaca Sihat:Aktif, zumba mempunyai tingkat kecergasan. Justeru, setiap individu kena mengkaji kemampuan diri kerana setiap daripada kita berbeza-beza.

Timbalan Pengarah Akademik, Pusat Sukan & Sains Eksersais, Universiti Malaya (UM), Dr Rizal Mohd Razman turut bersetuju dengan pendapat ZIN Wardah dan ZIN Zanariah.

Ujarnya, menjalankan aktiviti fizikal semata-mata tidak akan memberi kesan dalam mengawal atur berat badan selagi ia tidak diikuti dengan penjagaan makanan.

“Kalori masuk ke dalam badan juga perlu dikurangkan. Pendek kata, kita patut makan apa perlu sahaja,” katanya.

Bersederhana

Sihat:Aktif turut mendapatkan perspektif seorang lagi individu yang berhak mengulas tentang zumba.

Perunding Kesihatan D’ Jue Wellness, Dr Siti Juariah Kusni menyifatkan zumba merupakan latihan senaman yang agak ‘ekstrem’.

Menurutnya, biarpun soal pemakanan tidak dijaga, seseorang berzumba itu masih berupaya menurunkan berat kerana ia tetap membakar kalori.

“Jadi untuk menurunkan sekurang-kurangnya sekilogam dalam masa seminggu bukanlah sesuatu yang mustahil. Kalau lakukan ia terlalu kerap, tanpa jaga makan memang boleh kurus, tapi jika selalu sangat dengan rentak senaman yang sama, badan akan adjust.

“Kebiasaan, apabila berzumba boleh bakar 500 kalori. Bila badan adjust, ia tidak lagi boleh bakar 500 kalori seperti kebiasaan. Makanya, seseorang itu perlu lakukan senaman lebih kuat dengan masa lebih lama, baru boleh membakar kalori dalam jumlah sama,” jelasnya.

Apabila hal ini terjadi, secara tidak langsung senaman zumba itu akan dilakukan secara bersungguh-sungguh atau ‘ekstrem’.

Menerangkan lebih lanjut, Dr Juariah berkata, jika senaman dilakukan (secara ekstrem) ia boleh menimbulkan oxidative stress (keadaan jumlah radikal bebas di dalam tubuh melebihi jumlah antioksidan yang ada untuk dineutralkannya).

“Jadi, kajian tunjukkan seseorang sering lakukan senaman ekstrem mudah dapat sakit seperti kanser, sakit jantung, cepat tua malah nyawa tidak panjang. Tambah pula jika dia tidak jaga makan. Oleh yang demikian, seeloknya lakukan senaman secara sederhana dan pada masa sama, pemakanan kena seimbang. Amal intermittent fasting juga banyak beri manfaat sangat digalakkan untuk kurus dan sihat.

“Zumba ‘kurang ekstrem’ pula masih tiada masalah, tapi ia lebih kepada kardio, senaman jenis ini biasanya berat badan mungkin tidak turun tapi lebih kepada baik untuk jantung. Itu sebab jika seseorang berjoging setiap hari di rumah dengan rentak yang sama, dia tidak akan kurus, sama saja berat badannya,” terangnya.

Kenali jurulatih bertauliah

PAKAR kecergasan popular negara, Kevin Zahri Abd Ghaffar, tidak bersetuju aktiviti zumba dikatakan formula cepat kurus.

“Saya bukan musuh zumba. Cuma kalau seseorang itu suka zumba, ia memang boleh membantu (kurus) tapi ia bukan penentu.

“Kurus atau kurangkan berat badan tak bergantung kepada mana-mana jenis atau senaman tertentu. Zumba hanya boleh bantu bakar kalori, begitu juga mana-mana aktiviti senaman bergantung kepada usaha senaman seseorang,” ujarnya.

Jelasnya pada Sihat:Aktif, bagusnya zumba kepada wanita ialah kerana ia merupakan aktiviti yang menyeronokkan kerana dilakukan secara beramai-ramai dengan perasaan gembira, yakin dan boleh membakar antara 300 hingga 500 kalori dalam masa sejam.

Namun ujar beliau, sebenarnya berjoging atau bermain badminton juga mampu membakar kalori pada jumlah yang sama.

Kevin juga menitikberatkan tentang pemakanan. Seperti katanya: “Sekiranya seseorang buat zumba dan tak kawal makan dan gaya hidup, ia tidak akan membantu juga (kurangkan berat badan), sama juga dengan aktiviti kecergasan lain.”

Bagaimana mahu mengenalpasti seseorang jurulatih zumba yang bertauliah?

Kevin memberitahu, jurulatih zumba yang sah dikenali sebagai Zumba Instructor Network (ZIN).

“ZIN perlu mendaftar menerusi www.zumba.com selain mengikuti kursus berbayar. Kelebihan ZIN, mereka akan dapat lagu-lagu dan bentuk tarian dan alunan baharu zumba berbaza-beza setiap bulan,” katanya.

ANEKDOT

SejarahZumba

Pengasasnya ialah Alberto Beto Perez dari Colombia, Amerika Selatan pada tahun 2001.

Nama zumba diambil istilah dari kata ‘zum-zum’ dalam bahasa Colombia bererti gerakan cepat.

Sejarah Zumba bermula dengan situasi yang unik yang mana pada suatu hari, Beto Perez hendak mengajar senam aerobik, namun terlupa membawa CD yang lazim digunakan.

Namun begitu, Beto Perez tidak mahu membatalkan kelasnya sebaliknya menggunakan muzik yang ada di telefon bimbitnya iaitu muzik Latin, salsa, meringue, rumba hingga reggaeton. Kemudian, beliau mencuba membuat gerakan-gerakan senaman yang dicampur dengan gerakan tarian latin di dalam kelas aerobik tersebut.

Setelah kelas tersebut berakhir, ia mendapatkan respon positif dari pelajarnya.

Sejak itulah, sejarah Zumba tercipta dan kemudian Beto Perez mempatenkan kelas zumba ini pada tahun 2001.

Sejak itu, zumba berkembang di 125 negara dan menjadi industri yang menyediakan latihan tari, pakaian zumba.

Jenis tari yang digunakan pun makin bervariasi. Antaranya samba, cumbia, merengue, salsa, reggae, hip-hop, mambo, rumba, flamenco, dan calypso.

Setiap teras ni pula ada 16 pergerakan dengan 25 variasi.

Dalam kesemua teknik pergerakan itu, hanya 25 hingga 30 peratus yang melibatkan pergerakan kecergasan.