Penternak di Terengganu terputus bekalan ruminan sejak sebulan lalu

Mohd Ezril Hisham bersama ternakan yang sedia dipasarkan.
Mohd Ezril Hisham bersama ternakan yang sedia dipasarkan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penternak di Terengganu berdepan masalah terputus bekalan makanan ruminan dan peningkatan mendadak harganya sejak sebulan lalu.

Penternak lembu dan kerbau, Mohd Ezril Hisham Abd Rahman, 30, dari Manir di sini berkata, beliau terpaksa melepaskan haiwan ternakan yang sebelum ini dikurung dalam kandang ke kawasan lain untuk mencari makanan.

“Sebelum ini, kami diberitahu berlaku masalah bekalan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tenaga kerja kilang terpaksa dikurangkan separuh.

“Namun, sekarang kalau ikutkan tempoh PKP sudah habis tetapi pelik kerana masih berlaku masalah bekalan, selain peningkatan harga makanan yang mendadak,” katanya.

Katanya, isu peningkatan harga dedak dan terputus bekalan menjadi kelaziman saban tahun lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

Bagaimanapun, katanya, kali ini agak teruk kerana sudah hampir sebulan ia berlarutan.

“Sebelum ini, kalau terputus bekalan pun dalam sehari dua sahaja dan harga meningkat dalam RM1 hingga RM2. Tahun ini memang sangat teruk dan dijangka harga dedak akan naik lagi,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga dedak bagi gred paling murah meningkat seban minggu sehingga mencecah RM54 berbanding RM44 bagi setiap 50 kilogram (kg).

Artikel Berkaitan:

“Saya akan pesan sebanyak 30 hingga 50 beg dedak yang boleh bertahan sehingga dua minggu. Kini apabila sudah terputus bekalan, saya terpaksa bagi makan rumput,” katanya. Mohd Ezril Hisham yang memelihara lembu dan kerbau sejak tujuh tahun lalu mengakui berasa tertekan dengan keadaan itu dan terpaksa mencari pasaran luar bagi memasarkan haiwan ternakannya.

“Mustahil harga daging akan naik di Terengganu kerana harga pasaran di sini hanya RM30 hingga RM32 setiap 1kg berbanding pasaran luar terutama di Kuala Lumpur boleh cecah RM45 sekilogram.

“Sebab itulah harga daging di Terengganu dan di Kelantan paling murah berbanding negeri lain.

“Jika jual ikut harga pasaran semasa di Terengganu, nak bayar balik modal niaga pun tak lepas,” katanya.