X

Kindly register in order to view this article
!

Hospital antara 15 bangunan kerajaan di Perak tiada FC

Syed Azman ketika ditemui di Pejabat JBPM Perak pada Selasa.
A
A

IPOH - Hospital antara 15 bangunan kerajaan di Perak yang didapati beroperasi tanpa Sijil Perakuan Bomba (FC).

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Syed Azman Syed Ghazali berkata, perkara itu dikesan hasil pemantauan dijalankan di seluruh negeri sejak tahun lalu.

Menurutnya, secara keseluruhan terdapat 25 bangunan kerajaan berstatus kekal di negeri ini dikategorikan wajib memiliki FC namun hanya 40 peratus iaitu 10 premis yang mempunyai perakuan manakala selebihnya masih dalam proses permohonan.

"Daripada pemeriksaan dijalankan didapati, premis ini tidak mempunyai sistem keselamatan dan pencegahan kebakaran yang memenuhi spesifikasi ditetapkan sebelum FC dikeluarkan, kepatuhan itu hanya mencapai 70 ke 80 peratus sahaja.

"Bagaimanapun bagi kes bangunan hospital, mereka sebenarnya telah mengambil langkah-langkah keselamatan kebakaran yang sewajarnya demi keselamatan penghuni," katanya ketika ditemui di Pejabat JBPM Perak di sini pada Selasa.

Jelas beliau, dalam hal itu terdapat beberapa kekangan yang menyukarkan pengurusan bangunan memenuhi piawaian FC antaranya tanggungan kos kerana keadaan premis yang memerlukan kerja naik taraf kepada sistem keselamatan lebih tinggi.

"Ini biasanya memakan masa agak lama untuk diselesaikan kerana turut melibatkan masalah teknikal, pemasangan dan penyerahan pelan," katanya.

Beliau berkata, kelayakan mendapatkan sijil perakuan itu penting bagi memastikan sesebuah bangunan yang berisiko tinggi selamat diduduki.

Katanya, dengan adanya sistem pencegahan kebakaran, ia dapat berfungsi sebagai amaran kebakaran, mengawal dan memadam kebakaran secara manual atau automatik serta membantu orang ramai keluar dengan cepat apabila berlakunya kebakaran.

"Pemeriksaan sistem keselamatan ini dilakukan setiap tahun dan mana-mana pemilik yang gagal akan diberikan notis supaya memohon FC dengan segera.

"Sekiranya masih tiada sebarang tindakan diambil oleh pemilik premis, kes berkenaan akan di bawa ke mahkamah untuk tindakan perundangan mengikut Akta 341 Akta Perkhidmatan Bomba 1988," katanya.

Syed Azman berkata, setakat ini terdapat 22 premis sedang dalam tindakan pendakwaan atas kegagalan mendapatkan FC.

Katanya, ia membabitkan pemilikan bangunan swasta antaranya kilang, hotel, bangunan pejabat dan pasar raya.

"Mengikut data terkini terdapat 364 bangunan dimiliki swasta di negeri ini wajib mempunyai FC, namun hanya 260 yang memiliki perakuan itu.

"Sebahagian daripada baki berkenaan dalam proses permohonan, ada antaranya telah diberikan notis amaran dan selebihnya dalam proses pendakwaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!