Terpaksa fikir makanan alternatif

Mohd Daud bertukar kepada jerami padi kering untuk dijadikan sebagai stok makanan kepada lembu ternakannya.
Mohd Daud bertukar kepada jerami padi kering untuk dijadikan sebagai stok makanan kepada lembu ternakannya.
A
A
A

IPOH - Kenaikan harga makanan ruminan memaksa penternak memikirkan alternatif lain termasuk membuat makanan sendiri untuk ternakan mereka.

Bagi seorang penternak, Majzub Shaharuddin, 38, usaha itu terpaksa dilakukan bagi mengurangkan kos makanan sedia ada selain daripada kos-kos lain yang ditanggung penternak.

Menurutnya, disebabkan harga yang meningkat itu juga makanan ternakan terpaksa dicatu bagi memastikan ia mencukupi mengikut keperluan nutrisi ternakan.

“Memang tak ada pilihan lain. Saya sarankan semua penternak lembu atau kambing supaya mula membuat sendiri makanan ternakan. Jika terus bergantung kepada makanan ruminan sedia ada memang kos akan meningkat.

“Penternak juga perlu ada kreativiti sendiri dalam memastikan ternakan mendapat khasiat makanan secukupnya sebelum dijual di pasaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, seorang lagi penternak, Mohd Hashim Ayub, 52, berkata, kenaikan harga makanan ruminan tersebut turut memberi kesan kepada harga ternakan yang dijangka naik menjelang sambutan Aidiladha.

Mohd Hashim bersama lembu ternakannya di Ladang Lenggong Valley, Teluk Intan, Perak
Mohd Hashim bersama lembu ternakannya di Ladang Lenggong Valley, Teluk Intan, Perak

Tegasnya, sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi masalah itu sama ada penyelesaian jangka pendek atau jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

“Bekalan daging di negara ini memang tidak cukup untuk menampung permintaan tambahan pula dalam tempoh penularan Covid-19, daging import juga berkurangan,” katanya.

Menurutnya, dianggarkan harga bagi seekor lembu biasa boleh mencecah sehingga RM6,000 menjelang ibadah korban yang bakal berlangsung pada Julai depan.

Di KELANTAN, penternak dari Kampung Dewan Beta, Mohd Daud Abdul Salam, 36, mengambil inisiatif iaitu menjadikan jerami yang dibeli dari Kedah sebagai makanan alternatif kepada ternakan lembu dan kambingnya.

“Bukan harga sahaja yang naik, stok bekalan dedak di pasaran turut terputus. Situasi itu cukup memeritkan kerana saya mempunyai bilangan lembu dan kambing yang banyak dan memerlukan stok bekalan makanan berskala besar.

“Sejak stok berkurangan dan harga naik saya terpaksa ke kawasan lain (luar dari kampung) untuk membeli dedak,” katanya.

Katanya, jerami itu dibeli pada harga RM145 untuk 180kg.